SEORANG warga emas maut selepas berlaku kebakaran di sebuah bengkel motosikal yang turut dijadikan tempat memproses durian di Kampung Bukit Koman, Raub semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira 7.40 malam itu, mangsa, Nadarajan Krishnsamy, 75, ditemukan meninggal dunia selepas premis berkenaan dijilat api.
Katanya, menerusi siasatan awal, pihaknya mendapati terdapat dua orang lelaki di dalam bengkel tersebut ketika kejadian berlaku di mana seorang daripada mereka terselamat.
“Mangsa gagal keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak bomba selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub serta enam anggota dari BBP Bentong bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman yang mengambil masa kira-kira 15 minit.
“Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan,” katanya lagi.
Kebakaran turut memusnahkan lima motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai permukaan (ATV) yang berada di dalam bengkel berkenaan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

