LEMBAGA Tabung Haji (TH) sedang memantau dan menilai keadaan perkembangan konflik semasa di Iran serta Asia Barat dengan rapat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad memaklumkan, pihak pengurusan agensi itu akan membuat pemakluman seterusnya pada masa yang sesuai.
Beliau turut menegaskan, keselamatan dan kebajikan bakal jemaah haji negara tetap menjadi keutamaan.
“Susulan konflik semasa di Iran, ruang udara di kawasan Asia Barat telah terjejas dan semua penerbangan pergi dan balik dari Asia Barat telah digantung buat masa ini.
“Berkenaan dengan tanggungjawab TH kepada bakal jemaah negara, tindakan TH seterusnya akan berdasarkan nasihat yang diterima daripada rakan syarikat penerbangan, pihak berkuasa Arab Saudi dan Wisma Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ribuan penerbangan Asia Barat terpaksa dibatalkan manakala ruang udara rantau itu turut ditutup selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu.
Syarikat penerbangan utama termasuk Qatar Airways dan Saudia Airlines serta syarikat penerbangan yang berpangkalan di Abu Dhabi menggantung atau membatalkan sejumlah penerbangan sejak semalam.
Sementara itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia, dilaporkan mengalami kerosakan berikutan serangan balas oleh Iran dan kalangan pegawai mengesahkan empat kakitangan cedera.
Di samping itu, serangan dron yang menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait pula menyebabkan beberapa kakitangan cedera ringan dan Terminal 1 mengalami kerosakan kecil.
Dron Iran turut menyerang Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain sehingga mengakibatkan kerosakan bangunan namun tiada kehilangan nyawa manakala serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu mengorbankan satu nyawa dan tujuh yang lain cedera.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

