PENERAJU pembangunan hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi tahun 2026 untuk menyokong pemerkasaan usahawan tempatan.
Naib Presiden Kanan, Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd Nazri Jamiran memaklumkan, peruntukan lebih RM2 juta itu dijangka memanfaatkan seramai 625 usahawan.
Menurut beliau, ia menerusi pelaksanaan program berimpak tinggi selari dengan strategi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) di bawah Teras D iaitu Perluasan Akses Pasaran dan Adaptasi Teknologi.
Mohd Nazri berkata, pendekatan itu dirangka secara holistik dengan lebih berstruktur dan berfasa bagi memastikan usahawan mendapat akses pasaran yang lebih luas serta laluan perkembangan perniagaan yang mampan.
“Pada masa sama, pelaksanaan inisiatif ini selaras dengan aspirasi KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dan menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul.
“Pemerkasaan usahawan ini akan dilaksanakan menerusi beberapa program utama termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU); UDA One Stop Retail Centre (MARi Mart); UDA Craft Corner (KIRANA) dan penyediaan ruang niaga di bawah Malaysia Entrepreneur Hub (MEH).
“Tahun ini, penekanan akan diberikan kepada peluasan akses pasaran, pengukuhan rantaian bekalan serta pemantauan prestasi berasaskan data agar setiap intervensi yang dilaksanakan benar-benar memberi impak kepada kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan usahawan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Nazri berkata, inisiatif utama yang akan dilaksanakan menerusi PIUU yang menyasarkan 500 usahawan bersasar melalui pemberian insentif sewaan lot kedai dan tapak sementara di premis-premis UDA.
Katanya, ia bagi menyokong kemasukan serta memastikan kesinambungan operasi perniagaan.
Beliau berkata, UDA turut memperkukuh pelaksanaan MEH yang menyediakan ruang niaga di lokasi strategik dan kawasan bandar seperti Hab Keusahawanan Morten Walk; Kuala Lumpur Heritage Valley dan Santai Camp di Angsana Johor Bahru Mall (AJBM) dengan sasaran penyertaan seramai 25 usahawan.
Mohd Nazri memaklumkan, inisiatif tersebut berperanan sebagai platform peralihan sebelum usahawan berpotensi dipertimbangkan untuk penyewaan premis secara tetap di kompleks beli-belah UDA.
“Selain itu, platform MARi Mart akan terus diperkasa sebagai saluran pemasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan sasaran kemasukan 75 vendor baharu.
“Inisiatif ini memberi fokus kepada fasilitasi vendor, penambahbaikan asas produk serta pengukuhan penjenamaan bagi meningkatkan daya saing produk di pasaran.
“KIRANA pula yang berteraskan konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) akan menyediakan ruang pameran dan saluran pemasaran strategik kepada 25 usahawan kraf tangan tempatan sekali gus memperluas akses pasaran bagi produk tempatan yang berpotensi tinggi,” katanya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

