PERINGATAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemah dalam perbelanjaan susulan situasi tidak menentu di Asia Barat perlu diambil perhatian serius.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, indeks petunjuk ketidaktentuan perdagangan, polisi dan ekonomi global mencanak naik akibat serangan ke atas Iran.
Jelasnya, Malaysia amat bergantung kepada prestasi ekonomi global, negara ‘kecil-terbuka’ iaitu sekitar 60-70 peratus ekonominya bergantung kepada permintaan dunia, dengan ini eksport negara kemungkinan akan terjejas.
“Bekalan makanan kita turut bergantung kepada import. Walaupun sumbernya bukan dari negara-negara rantau teluk, kesan ketidakstabilan global mengesani semua negara. Jangan ambil ringan.
“Kerencatan bekalan minyak dunia dan kenaikan kos pengangkutan akibat dari krisis ini menyebabkan ketidakstabilan ekonomi global dan kenaikan harga minyak dunia.
“Rantaian pengeluaran ekonomi dunia berkait rapat dengan faktor-faktor ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Noor Azlan berkata, sebaiknya kerajaan, industri dan rakyat keseluruhan membuat persediaan awal, semua perlu menilai bagaimana krisis ini, sekiranya berpanjangan serta meluas, mungkin menjejaskan pengoperasian dan perekonomian masing-masing.
“Apakah tindakan-tindakan awal yang sewajarnya? Apakah keperluan tindakan yang diperlukan sekiranya krisis ini berpanjangan? Sediakan payung sebelum hujan,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

