BEKALAN produk petroleum dalam negara mencukupi keperluan semua sehingga Mei ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan harga BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99 seliter.
Katanya, walaupun berlaku konflik di Asia Barat, keterjaminan bekalan minyak dalam negara masih terkawal.
“Konflik ini mempunyai kesan terhadap ekonomi dunia termasuk Malaysia. Ketegangan yang berlaku ini menyebabkan kebebasan ruang udara terbatas dan lebih parah, gangguan bekalan minyak dan gas yang melalui Selat Hormuz.
“Sekarang dianggarkan lebih 400 kapal tangki minyak telah terkandas dan sekitar 3,000 kapal pengangkutan yang lainnya. Harga minyak yang meningkat mendadak ini akan memberi kesan ekonomi bagi negara-negara pengimport dan pengeluar minyak.
“Tapi alhamdulillah, berkat pengurusan Petronas dan negara, kita dapat menjamin bekalan minyak yang cukup dan mengekalkan harga BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter,” katanya dalam sidang media khas Perdana Menteri hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau turut mengarahkan Timbalan Perdana, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk menubuhkan jawatankuasa bagi memastikan pengawasan teliti dan tindakan tegas pada pihak yang melakukan cubaan menyeludup minyak ke luar negara.
Katanya, jawatankuasa ini juga akan bersama dengan Kementerian Ekonomi untuk mengkaji impak konflik Asia Barat setiap hari untuk dimaklumkan kepada pimpinan kerajaan.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

