SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan lima akaun syarikat dan lima akaun perbankan milik individu dianggarkan kira-kira RM4 juta.
Jelas SPRM, ia susulan siasatan terkini isu penyelewengan tanah yang melibatkan seorang pengarah syarikat, baru-baru ini.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan SPRM Selangor bermula sejak 9 Mac lalu turut membekukan dua akaun unit amanah bernilai RM2.6 juta dan beberapa akaun simpanan syarikat serta individu berjumlah kira-kira RM1.4 juta.
“Pada masa yang sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” katanya.
Semalam, seorang Pengarah Syarikat yang juga merupakan pemegang amanah ke atas tanah seluas kira-kira lapan ekar di sebuah ladang di Hulu Selangor telah ditahan reman lima hari hingga Isnin depan.
Setakat ini seramai 24 orang saksi telah diambil keterangan.
SPRM juga masih mengesan saksi-saksi yang terlibat di dalam kes terbabit bagi tujuan rakaman percakapan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

