SEORANG lelaki warga tempatan berusia 24 tahun ditahan selepas kereta yang dipandunya merempuh enam kenderaan lain di Jalan Wong Soon Kai, Sibu, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu, Supritendan Boniface Bajai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 9.55 malam semalan.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu oleh lelaki tersebut sedang bergerak lurus menuju ke arah persimpangan lampu isyarat Jalan Wong Soon Kai.
“Semasa menghampiri persimpangan tersebut, kereta berkenaan dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat lalu merempuh enam buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.
“Walau bagaimanapun, kemalangan ini tidak melibatkan sebarang kecederaan serius, namun kesemua kenderaan yang terlibat mengalami kerosakan teruk pada bahagian badan kenderaan,” katanya.
Boniface berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu kereta itu positif dadah jenis amphetamine.
Katanya, susulan daripada kejadian itu, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam.
Jelas beliau, jika disabitkan kesalahan, pemandu boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000, selain hilang kelayakan memegang lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada dua tahun.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

