SEBANYAK 1,098 Bazar Raya Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) 2026 berlangsung serentak di 1,098 lokasi NADI di seluruh negara hari ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, ia sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus memperkukuh peranan NADI sebagai platform ekonomi komuniti yang semakin berkembang.
Jelas MCMC, inisiatif di bawah Perkhidmatan Pintar NADI yang diselaraskan oleh MCMC itu berfungsi sebagai platform memperkasa usahawan komuniti serta meluaskan peluang pemasaran menjelang musim perayaan.
Menurut MCMC, program itu menyasarkan penyertaan sehingga 10,000 usahawan iaitu peningkatan dua kali ganda berbanding lebih 5,000 usahawan yang terlibat pada 2025.
Terdahulu, Majlis Kick-Off Bazar Raya NADI telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada 7 Mac lalu di NADI PPR Kerinchi sebagai simbolik pelancaran peringkat nasional.
Selain NADI PPR Kerinchi, program itu turut dipromosikan tahun ini di lima lokasi tumpuan utama lain iaitu NADI Sungai Tua, Gombak, Selangor; NADI Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2, Ipoh, Perak; Padang Bola Sri Johor 4AB, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; Kulai, Johor Bahru; serta NADI Kubang Semang (Yayasan Aman), Pulau Pinang bagi memperluas keterlihatan dan impak program di seluruh negara.
Bazar Raya NADI di Padang Bola Sri Johor 4AB, Bandar Tun Razak hari ini telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Mengulas lanjut, MCMC memberitahu, selain aktiviti jualan, program di lokasi itu turut menampilkan pengisian komuniti.
Antaranya, jelas MCMC seperti penganjuran Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan keselamatan Internet dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.
Menurut MCMC, bazar itu turut menampilkan kolaborasi strategik antara MCMC dengan beberapa agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melalui pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI dan Jualan Agro MADANI.
“Kerjasama ini menyokong aspirasi Kerajaan MADANI dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih mampu milik menjelang musim perayaan.
“Bazar Raya NADI 2026, sebagai kesinambungan daripada edisi tahun 2025,
bukan sekadar platform jualan bermusim.
“Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan MCMC untuk memperkukuh ekosistem ekonomi digital komuniti, merapatkan jurang digital serta meningkatkan daya saing sosioekonomi rakyat selaras dengan objektif penubuhan NADI,” jelas MCMC.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

