Aidilfitri di sebalik honar Asia Barat: ‘Duduk diam-diam’ atau macam tak ada apa-apa berlaku?

Dari Penulis

HONAR dan rusuh hati dek kekacauan yang berlaku di rantau Asia Barat yang berlarutan kini menimbulkan ancaman global, terutama berkait tentang krisis minyak.

Kita tak terkecuali menerima tempiasnya sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat pengumuman penting penyelarasan sementara Program Budi MADANI RON95 (BUDI95).

Dengan pelarasan terkini harga runcit petroleum menampakkan peningkatan ‘mengejutkan’ baru-baru ini, ia cukup mengkhuatirkan, khususnya kepada pengguna.

Secara cakap pasarnya, dan secara teori orang biasa macam saya selaku rakyat mula bercakap, bimbang ia bakal memberi kesan kepada harga barang, harga makanan.

Sebabnya kita melihat daripada kesan kenaikan harga runcit petroleum sebelum ini turut memberi kesan kepada harga barang. Itu pandangan biasa saya dan banyak pihak yang bimbang dengan situasi semasa itu.

Atau teori pasar saya ini tak betul, tapi kalau ikutkan kesan dalam ‘kisah-kisah’ terdahulu, begitulah yang berlaku. Sebab itu ramai yang bimbang.

Dan apabila kerajaan mengumumkan mengenai pelaksanaan bekerja dari rumah, ia menguatkan lagi kata-kata rakyat biasa, ada sesuatu yang ‘menanti’ kita di masa mendatang.

Bagi saya, buat masa ini, berbelanja ikut apa yang perlu sahaja. Jika perlu keluar memandu kereta, biarlah tujuannya benar-benar mustahak, bukan lagi bersiar-siar.

Hati-hati berbelanja

Begitu juga dengan sambutan Aidilfitri baru-baru ini, saya lihat dan saya tinjau, ramai juga yang mula berhati-hati dalam berbelanja.

Untuk itu saya petik penulisan Prof. Madya Dr. Mohd Naseem Niaz Ahmad dari Program Ekonomi, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) iaitu perancangan kewangan yang lebih ketat, keutamaan kepada keperluan asas serta pengawalan perbelanjaan perlu menjadi norma baharu.

Beliau seterusnya menulis, ini bukan soal mengurangkan kemeriahan Aidilfitri, tetapi memastikan kelangsungan kewangan dalam persekitaran ekonomi yang semakin mencabar.

Saya setuju dengan tulisan beliau ini yang disiarkan di portal UtusanTV bertarikh 19 Mac lalu.

Jelas beliau, disiplin perbelanjaan bukan lagi satu pilihan peribadi, tetapi satu keperluan ekonomi.

Sebab itu saya cakap, kalau boleh berjimat, bertindaklah sewajarnya. Kita bercakap soal duit poket yang kini kita tempuhi dalam situasi cukup mencabar.

Bukan soal rumah siapa yang hidang pinggan atau cawan plastik semasa Aidilfitri ini tetapi jauh lebih penting dan serius.

Bukan juga soal duit raya, baju baru atau kereta baru. Ia menuntut kita meneropong kelangsungan hidup untuk hari, bulan atau tahun mendatang.

Paling penting, ‘duduk diam-diam’, usah berfikir apa lagi yang nak dibelanjakan, kalau ia tidak begitu mendesak.

Atau kita ini dalam kategori ‘macam tak ada apa-apa berlaku?’. Sementelah duit hangus begitu sahaja beli mercun dan bunga api. Harganya mahal ya.

Terpulang kalian. Bagi saya, ini masa yang cukup kritikal.

Metra Syahril Mohamed ialah Ketua Pengarang UtusanTV


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Korban bot karam selesai dikebumi, polis buru dalang penyeludupan migran

KESEMUA 27 jenazah warga Myanmar etnik Rohingya yang ditemukan dalam tragedi bot karam di perairan Langkawi selamat dikebumikan...

More Articles Like This