Malaysia, Bangladesh perkukuh kerjasama dalam bidang migrasi pekerja

Azrul Hakimie Anuer
Azrul Hakimie Anuer
Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

Dari Penulis

MALAYSIA dan Bangladesh bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang migrasi pekerja, dengan memberi penekanan kepada sistem yang lebih telus, inklusif dan berintegriti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, antara fokus utama adalah memastikan proses migrasi yang selamat, teratur dan sah, di samping menangani cabaran sedia ada dalam proses pengambilan pekerja.

“Antara perkara penting yang dipersetujui termasuk usaha mempercepatkan pembukaan semula pasaran pekerjaan bagi pekerja Bangladesh berdasarkan keperluan sektor di Malaysia, serta memastikan proses pengambilan yang adil, beretika dan telus.

“Langkah ini turut melibatkan pengurangan peranan orang tengah, penurunan kos serta penggunaan agensi pengambilan yang sah dan berkelayakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian sempena lawatan delegasi Bangladesh yang diketuai Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara, Ariful Haque Choudhury bersama Penasihat kepada Perdana Menteri Bangladesh, Mahdi Amin ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya lagi, Malaysia juga telah membentangkan inisiatif memperkenalkan sistem pengambilan pekerja berasaskan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada perantara.

Jelasnya, ia juga demi memastikan kos pengambilan ditanggung sepenuhnya oleh majikan, selaras dengan prinsip Employer Pays oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Pihak Bangladesh telah menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif ini dan kesediaan untuk bekerjasama dalam pelaksanaannya.

“Perbincangan turut menyentuh isu berkaitan kes undang-undang serta kebimbangan terhadap pemerdagangan manusia dalam pengambilan pekerja.

“Kedua-dua pihak menegaskan kepentingan mematuhi kedaulatan undang-undang, memastikan proses keadilan yang telus serta melindungi reputasi antarabangsa masing-masing,” katanya.

Selain itu, Ramanan berkata, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, latihan, pensijilan dan perkongsian maklumat turut diberi penekanan bagi memastikan padanan lebih baik antara keperluan industri serta tenaga kerja, seterusnya meningkatkan produktiviti.

“Sesi libat urus akan diteruskan secara berkala bagi memastikan segala inisiatif yang dipersetujui dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam membina sistem migrasi pekerja yang lebih adil, mampan dan berdaya saing di peringkat global,” tegasnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Anggota MALBATT 850-13 bertugas di Selatan Lubnan selamat – ATM

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan bahawa seluruh anggota MALBATT 850-13 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan...

More Articles Like This