SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima aduan rasmi berhubung transaksi mencurigakan melibatkan seorang bekas Menteri Ekonomi.
Aduan tersebut dibuat oleh Sekretariat Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur) selepas curiga dengan transaksi wang berjumlah RM500,000 melibatkan projek mesin layan diri.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, Pengerusi Biro Politik SekPur, Shahbudin Embun telah membuat aduan serta menyerahkan dokumen berkaitan sekitar 12.30 tengah hari tadi.
Katanya, kehadiran Shahbudin turut disertai seorang individu dikenali sebagai Mejar Razali Zakaria.
“SPRM telah menerima dokumen berkaitan dan akan menelitinya untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Laporan tersebut susulan beberapa laporan media terdahulu yang membangkitkan dakwaan RM500,000 telah dibayar sebagai dana lobi/politik melalui pihak perantara kepada tokoh politik tertentu.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

