SEORANG lelaki yang menumbuk seorang wanita secara tiba-tiba di hadapan sebuah pasar raya di daerah Mersing, berjaya ditangkap.
Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superitendan Mohd Nizam Yusoff berkata, akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan lebam bahagian dahi dan patah hidung.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis semalam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Mersing, Ibu Pejabat Polis Daerah Mersing telah membuat tangkapan ke atas suspek iaitu seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun di sekitar Bandar Mersing.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya.
Mohd Nizam berkata, suspek juga didapati positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya.
Katanya, suspek ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari mulai 11 hingga 14 April.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

