MAHKAMAH Trafik Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM13,000 ke atas seorang wanita yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan pada 20 April lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, selain itu hukuman enam bulan penjara boleh dikenakan jika gagal membayar denda serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.
Jelasnya, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju.
“Laporan pertama kejadian telah dibuat pada 20 April lalu manakala video kejadian mula tular di media sosial pada 21 April.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dipandu oleh seorang wanita berumur 42 tahun, manakala motosikal ditunggang oleh seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun bersama seorang pembonceng perempuan.
“Akibat kemalangan penunggang motosikal mengalami kecederaan ringan iaitu bengkak di bahagian lutut kanan, manakala pembonceng dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zamzuri menambah, ujian alkohol ke atas pemandu kereta mencatatkan bacaan sebanyak 183 miligram/100 mililiter.
Berikutan itu, katanya lagi, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

