PELBAGAI harta dan wang tunai milik sindiket dadah bernilai RM14.15 juta telah disita dalam Op Empis yang dilaksanakan di sekitar kawasan Lembah Klang, 16 April lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, antara yang disita adalah 18 kenderaan pelbagai jenis termasuk tiga kenderaan mewah iaitu Rolls Royce Cullinan Black Badge, Porsche Taycan 4S dan Mercedez Benz AMG GLA35.
Menurut Hussein, seramai 17 individu warga tempatan yang terdiri daripada 12 lelaki dan 15 wanita serta dua wanita warga China ditangkap dalam operasi tersebut.
Katanya, kesemua yang ditahan itu berusia dalam lingkungan 24 hingga 48 tahun.
“Serbuan pertama telah dijalankan di sebuah apartment sekitar kawasan Taman Wahyu, Kuala Lumpur dan telah berjaya menangkap suspek pertama bersama suspek kedua.
“Pemeriksaan di sebuah unit rumah telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti sembilan bungkusan plastik berisi pil estacy (0.89 kg); satu bungkusan plastik berisi ketamin (0.69 kg); 150 keping aluminium foil berisi erimin 5 (0.46 kg); lima bekas plastik bersama 177 paket plastik berisi MDMA (6.5 kg) dan pelbagai peralatan untuk memproses dadah,” katanya.
Mengulas lanjut, Hussein berkata, serbuan kedua hingga keenam telah dijalankan di sekitar Kuala Lumpur telah berjaya menangkap suspek ketiga hingga kedua belas.
Katanya, serbuan ketujuh telah dijalankan di sebuah rumah di sekitar Kepong dan berjaya menangkap suspek ketiga belas bersama suspek keempat belas.
Susulan daripada itu, jelas beliau, JSJN telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah unit apartment di sekitar Taman Wahyu.
“Hasil daripada pemeriksaan itu, polis berjaya merampas 47 bungkusan plastik berisi serbuk ketamin (31 kg) dan 1,225 keping aluminium foil berisi pil disyaki dadah jenis erimin 5 (3.8 kg).
“Serbuan kelapan dan kesembilan telah dijalankan di sebuah apartment sekitar Kepong dan berjaya menangkap suspek kelima belas hingga kesembilan belas.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah bernilai RM3.1 juta,” katanya.
Hussein berkata, suspek kedua belas berperanan sebagai ketua sindiket manakala suspek kesepuluh berperanan sebagai pembantu ketua sindiket.
Katanya, suspek pertama, ketujuh, kesembilan, ketiga belas dan kesembilan belas berperanan sebagai penjaga stor.
Manakala, suspek keempat dan kesebelas berperanan sebagai runner manakala lain-lain suspek merupakan rakan kepada ahli-ahli sindiket ini.
Menurut Hussein, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

