SEBANYAK 463 permohonan menurunkan kandungan berita palsu berkaitan krisis tenaga global telah diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) setakat hari ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia susulan peningkatan aduan maklumat tidak sahih di platform media sosial.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, semua permohonan yang diterima MCMC akan diajukan kepada penyedia plaform berkaitan untuk tindakan susulan.
Jelas beliau, berdasarkan aduan yang diterima, platform Facebook mencatat jumlah tertinggi dengan 185 permohonan, diikuti TikTok sebanyak 142 kandungan, manakala Threads merekodkan 131 kandungan.
“Daripada 463 permohonan ini, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka dan satu kes telah diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah.
“Selain itu, lima kes menerima nasihat untuk dikenakan arahan kompaun dan selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Katanya, kandungan berita palsu yang paling banyak dilaporkan adalah melibatkan isu harga bahan api serta kadar tol berkaitan Selat Hormuz.
Fahmi berkata, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi sebarang kandungan.
“Dalam situasi krisis ketika ini, ia (berita palsu) itu dilihat amat sensitif dan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

