SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak menggeledah 26 lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek di sekitar Lembah Klang susulan siasatan isu sindiket isytihar palsu barang import.
Ia melibatkan pengimport, ejen penghantaran dan orang tengah yang disyaki membuat pengisytiharan butiran palsu berkaitan kuantiti dan jenis barangan import yang dibawa masuk ke Malaysia kepada pihak kastam untuk mengelak dan pengurangan duti import.
Menurut sumber, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan satu operasi bersepadu sejak 21 April lalu menerusi Op Cello.
Ia jelasnya, dilakukan dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Agensi-Agensi Penguatkuasaan Malaysia (MATF) yang terdiri daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Setakat ini operasi yang dijalankan sejak Selasa lalu, SPRM telah menggeledah sebanyak 26 buah lokasi melibatkan premis syarikat dan kediaman suspek sekitar Lembah Klang.
“Hari ini Op Celio diteruskan lagi di Pulau Pinang dan Kelantan dengan menyasarkan dua buah lagi premis melibatkan premis-premis Consignee,” katanya.
Tambah sumber, siasatan turut mengenal pasti beberapa pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam aktiviti rasuah melepaskan kontena yang bermasalah.
“SPRM sudah merakam keterangan lima individu setakat ini susulan siasatan terkini isu sindiket berkenaan.
“Pada masa yang sama SPRM akan merakam keterangan individu-individu daripada consignee dan ejen penghantaran bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan BOK, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi memberitahu, terkini sebanyak 133 akaun individu dan syarikat telah dibekukan berjumlah kira-kira RM185 juta.

