PARTI Bersama Malaysia (Bersama) mengumumkan bakal menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kurang sebulan sejak parti itu dilancarkan semula.
Rafizi dan Nik Nazmi dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dimuktamadkan setelah beberapa perbincangan diadakan dengan pimpinan Bersama dah ahli-ahli terpilih daripada seluruh negara.
Menurut mereka, perbincangan lanjutan dengan wakil ahli-ahli Bersama dari Johor akan diadakan hari ini bagi mengenal pasti kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.
“PRN Johor 2026 membuka ruang untuk memperkenalkan Bersama kepada pengundi-pengundi Johor, walaupun Bersama berusia kurang dari sebulan sejak dilancarkan semula pada 17 Mei lalu.
“Penyertaan Bersama dalam PRN Johor 2026 juga membolehkan Bersama membina jentera pilihan raya dalam tempoh yang singkat dan menguji kecekapan serta kelemahan jentera sebagai persiapan ke arah pilihan raya- pilihan raya yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Rafizi dan Nik Nazmi berkata, parti itu akan mengadakan siri jelajah ke negeri-negeri bermula di Johor pada hari Sabtu ini (6 Jun) di Danga Bay Convention Centre.
Katanya, siri jelajah dinamakan ‘Jelajah Kancil’ itu akan memberi tumpuan kepada 12 agenda Bersama dengan setiap negeri menumpukan kepada satu agenda.
“Jelajah Kancil juga akan melawat setiap negeri lain selepas Johor iaitu Melaka pada Ahad ini, diikuti Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sehingga bulan depan,” katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada PRN16.
Pada PRN ke-15 yang berlangsung Mac 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 12 kerusi dengan DAP memperoleh 10 kerusi, manakala PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi.
Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara MUDA memperoleh satu kerusi.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

