PIHAK polis kini sedang memburu suspek yang melakukan samun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka di Jalan Sungai Daun, Taman Bistari, di Nibong Tebal dalam satu kejadian pada 31 Mei lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Deputi Superintendan Mohd Norazmi Abd Ghapar berkata, dalam kejadian pada pukul 9.29 malam itu, seorang lelaki berusia 27 tahun mengalami kecederaan di kepala dan kedua-dua tangan akibat diserang suspek.
“Suspek kemudian melarikan wang tunai, beberapa kotak rokok dan sebuah beg silang dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM500.
“Mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sungai Bakap sebelum dirujuk ke Hospital Sunway Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan.
Baca: Senarai calon BN PRN Johor tular disahkan palsu, Onn Hafiz seru sikap tabayyun
Beliau menambah, pihanya sedang menjalankan analisis lanjut termasuk mengenal pasti kenderaan digunakan oleh suspek yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran asing, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperoleh.
Katanya, pemeriksaan forensik juga telah dijalankan di tempat kejadian bagi mendapatkan bahan bukti yang boleh membantu siasatan.
“Pihak polis memberi jaminan bahawa siasatan dijalankan secara menyeluruh dan usaha mengesan serta menangkap suspek yang terlibat sedang dipergiatkan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan siasatan telah dimulakan sebaik sahaja laporan diterima dan tidak bergantung kepada penularan video di media sosial.
Katanya polis mengesan video berdurasi tiga minit 18 saat berkaitan kejadian itu yang tular di Facebook semalam.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Tuan Noremifarahana Tuan Roslan di talian 04-5858222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

