Mesyuarat khas SPR bincang PRN Melaka Isnin ini

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan satu mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15 Isnin ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat itu akan diadakan pada pukul 10 pagi di sebuah hotel di Melaka.

Menurut Ikmalrudin, ia akan dipengerusikan Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh.

“Mesyuarat berkenaan akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN Melaka seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DUN Melaka telah dibubarkan 4 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN diadakan.

Baca artikel berkaitan: SPR akan adakan mesyuarat khas bincang PRN Melaka

Speaker DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd. Ali Rustam telah membuat pertimbangan dan bersetuju untuk membubarkan DUN susulan nasihat daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.

Ab. Rauf berkata, sepucuk surat telah dikemukakan kepada Mohd Ali yang memaklumkan empat ADUN telah mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Sulaiman dan pada masa sama meminta perkenan untuk pembubaran DUN.

Ab Rauf turut menyerahkan proklamasi pembubaran DUN Melaka kepada Pengarah SPR Melaka, Rudy Rohan Johan @ Ganesan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Felo Perdana beri manfaat besar, ramai berjaya – PM

0

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menyifatkan program Felo Perdana memberi manfaat besar apabila ramai pesertanya berjaya dalam sektor awam, swasta mahupun politik.

“Hasil daripada pendedahan dan program Felo Perdana ini, sebahagiannya berjaya dalam politik dan ada yang jadi menteri.

“Dari segi kerjaya lain pula, saya percaya ramai yang berjaya hingga hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Peserta Felo Perdana Tahun 2021 di Putrajaya hari ini.

Program Felo Perdana dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan sejak 2013. Tahun ini merupakan tahun kesembilan pelaksanaannya dan telah mengumpulkan penyertaan lebih 600 anak muda.

Ia merupakan inisiatif kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan bagi melatih belia yang berpotensi dengan kemahiran aras tinggi di samping melibatkan mereka secara langsung dengan penggubalan dan pembentukan dasar kerajaan.

Seramai 64 anak muda berprestasi tinggi terpilih sebagai peserta Felo Perdana Tahun 2021 bermula hari ini hingga 31 Dis, yang ditempatkan bersama mentor masing-masing terdiri daripada ahli Jemaah Menteri.

Baca artikel berkaitan: PM tak mampu tahan sebak bentang isu kemiskinan

Ismail Sabri dalam pada itu meminta ahli Jemaah Menteri untuk memberi bimbingan kepada peserta berkenaan berkaitan aspek pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata objektif program itu antaranya memberi pendedahan kepada anak muda untuk memahami serta mempelajari bagaimana kementerian-kementerian ditadbir.

Ismail Sabri berkata langkah membawa Felo Perdana ke Parlimen juga memberi pendedahan pembelajaran dan ilmu perundangan kepada peserta.

“Tahniah dan syabas kepada mereka yang terpilih, ramai yang memohon tetapi hanya sebahagian dapat dipilih,” katanya. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Zahid, isteri guna dana yayasan bayar kad kredit beli Giorgio Armani, LV, Hermes

0

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya lebih RM1.3 juta yang digunakan untuk membeli-belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis membelanjakan lebih RM1.3 juta itu untuk membeli-belah dalam tempoh dua tahun.

Beliau berkata penggunaan kad kredit secara meluas bagi pembelian di gedung membeli-belah mewah di seluruh dunia dan dalam negara itu boleh dilihat melalui penyata bulanan kad kredit.

“Walaupun diakui, tabiat berbelanja tertuduh dan isterinya mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika mereka membeli-belah seperti di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes,” katanya.

Raja Rozela berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada akhir kes pendakwaan terhadap Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Baca artikel berkaitan: Pemegang Amanah YAB hanya ‘boneka’ dikawal Zahid – Pendakwaan

Raja Rozela berkata, saksi pendakwaan ke-10, Yeoh Eng Leong yang juga Naib Presiden Kanan AmBank mengesahkan bahawa berdasarkan penyata kad kredit yang dikemukakan, jumlah pembayaran yang diterima bank dari Januari 2014 hingga Januari 2016 adalah sebanyak RM1,296,715.98.

“Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak RM534, 412.52; RM708, 134.47 bagi Januari hingga Disember 2015 dan RM54,168.99 bagi Januari 2016.

“Saksi pendakwaan kesembilan, Anoop Singh Gulzara Singh, Naib Presiden Maybank (Pengurusan Penipuan dan Pertikaian Kad Kredit), mengesahkan penerimaan enam pembayaran berjumlah RM30,771.19 (antara Februari dan Oktober 2014), satu pembayaran pada Mac 2015 pada RM3,914.84, dan satu lagi pada Julai 2015 sebanyak RM30,635.80,” katanya.

Raja Rozela berkata, Ahmad Zahid juga menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar cukai jalan dan insurans 20 kenderaan milik Ahmad Zahid dan tiga yang lain, isterinya, BZ Motors dan Juhari Janan, antara Januari dan September 2015.

“Jumlah yang terlibat adalah RM107,508.55 (pembelian insurans dan cukai jalan). Tidak ada kenderaan milik Yayasan Akalbudi,” katanya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan12 bagi pertduhan CBT, lapan kes rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

8.75 juta individu bakal divaksinasi dos ketiga

KIRA-kira 8.75 juta individu akan diberikan suntikan dos ketiga pelalian Covid-19 bagi meningkatkan tahap perlindungan golongan rentan daripada wabak berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah itu melibatkan pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan serta individu dengan komorbid.

Menurutnya, jumlah penerima dos ketiga itu meliputi petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan.

“Penerima dos ketiga terdiri daripada kira-kira 600,000 petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan selain 150,000 pesakit kurang daya tahan imun.

“Pada masa, pelalian itu diberikan kepada tiga juta warga emas dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang; dan lima juta individu dengan komorbid,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang bertanya tarikh dos ketiga vaksin Covid-19 akan diberikan serta kaedahnya.

Khairy dalam pada itu berkata, dos tambahan vaksin itu akan diberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi, seperti pemberian dos ketiga vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan apabila liputan imunisasi populasi dewasa melebihi 80 peratus.

Beliau berkata, terdapat dua jenis dos tambahan iaitu dos ketiga yang diberikan kepada golongan rentan kerana dua dos tidak mencukupi untuk meningkatkan tahap imuniti, serta dos penggalak yang diberi kepada individu bagi meningkatkan tahap imuniti yang menurun dalam tempoh tertentu, selepas dos lengkap.

“Kementerian Kesihatan ketika ini menyelaras pembangunan satu garis panduan berkaitan pemberian dos tambahan.

“Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) yang bersidang pada 8 Oktober lalu memberi kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin Cormirnaty keluaran Pfizer sebagai dos penggalak,” tambahnya.

Enggan pulangkan, polis rampas kenderaan rasmi Norhizam

DISEBABKAN keengganannya memulangkan kenderaan rasmi kerajaan, polis merampas sebuah kenderaan rasmi daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, kenderaan jenis Toyota Camry itu dirampas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka pada pukul 11.20 pagi, semalam.

Kata beliau, kereta berkenaan dirampas di lot tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, Melaka menerusi waran geledah dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh.

Menurut Abdul Majid, ia susulan satu laporan polis daripada seorang kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengenai kejadian sebuah kenderaan rasmi yang tidak dipulangkan Norhizam.

“Siasatan awal mendapati satu surat arahan untuk memulangkan kenderaan tersebut telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Kerajaan Negeri Melaka pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khas Norhizam.

“Susulan daripada laporan polis ini, pihak JSJK telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan di atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

“Polis juga merampas satu kunci kereta, kad touch and go dan satu kad minyak Petronas daripada seorang lelaki yang merupakan pemandu rasmi kepada Norhizam,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Dulu ‘barua’, sekarang bermaruah, kami berempat fighter – Norhizam

Media sebelum ini melaporkan Norhizam mempersoalkan mengapa hanya beliau dan dua lagi iaitu ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas ADUN Teluk Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad diarahkan memulangkan kenderaan rasmi sedangkan Exco kerajaan negeri lain masih menggunakan kereta masing-masing.

Bagaimanapun, Norhizam dilaporkan berjanji memulangkan kereta rasmi itu kepada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri secepat mungkin.

Mengulas lanjut, Abdul Majid berkata, lima saksi iaitu kakitangan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka telah dirakam percakapan untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.

Beliau berkata, lebih ramai saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk Norhizam.

“Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta itu boleh diletakkan di tempat letak kereta kondominimum tersebut serta kaitannya dengan pemilik lot tempat letak kereta itu.

“Seksyen 403 Kanun Keseksaan menyatakan barang siapa dengan curangnya menyalahgunakan atau menjadikan bagi kegunaannya sendiri atau menyebabkan mana-mana orang melupuskan apa-apa harta boleh dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebat serta boleh dikenakan denda,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

UPSI hasrat jadikan sungai daerah Perak Tengah hab rekreasi dan penyelidikan

0

UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merancang untuk membantu Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) meneroka lokasi-lokasi menarik di kawasan sungai daerah Perak Tengah sebagai pusat penyelidikan dan aktiviti rekreasi.

Menurut Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pihaknya sedang mengkaji prosedur yang berkesan sambil meneliti lokasi-lokasi bersesuaian yang dilihat berpotensi untuk  dijadikan pusat pembangunan penyelidikan alam sekitar, selain memperkasa aktiviti rekreasi sukan air dengan melibatkan sektor pembangunan ekonomi setempat melestarikan pelancongan di negeri itu.

“Sebagai pusat pengajian peneraju pendidikan nasional, UPSI amat optimis menyalurkan khidmat kepakaran sedia ada di fakulti-fakulti untuk diserapkan kepada masyarakat melalui pelaksanaan pembangunan penduduk setempat sebagai salah satu fungsi memasyarakatkan universiti di peringkat kebangsaan,” jelasnya ketika mengadakan lawatan kerja bersama MDPT di Hotel Impiana, Ipoh, hari ini.

Laluan sempadan sungai daerah Perak tengah meliputi kepanjangan hampir 200 kilometer ini mempunyai lebih 170 jenis spesis marin masih menjadi sumber makanan dan ekonomi penduduk di persisiran sungai selain pernah menjadi laluan perantara utama semasa sejarah ketamadunan Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

“Terdapat tiga inisiatif pelaksanaan pihak universiti usulkan merangkumi pelan pembangunan pesisiran sungai,  pelaksanaan pengurusan acara dan pengurusan aset untuk perkembangan sektor pelancongan dan ekonomi. Antara lokasi yang menjadi perhatian ialah di pesisir Pulau Semarak sekitar litar Dato’ Sagor, Dataran Nordin berhampiran Cempaka Sari dan Pulau Misa Melayu melibatkan tiga kawasan iaitu Tanjung Belanja, Bota dan Kampung Gajah,” jelasnya lagi.

“Sungai Perak merupakan nadi kepada identiti rakyat Perak yang kaya dengan hasil budaya, ketamadunan dan sejarah, wajarlah pihak pengajian seperti UPSI sendiri turun padang berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan seperti MDPT melalui pendekatan yang bersesuaian,” jelas beliau lagi. – UtusanTV

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Jangan lupa SOP, kes baharu naik kepada 7,950 hari ini

JANGKITAN baharu COVID-19 seluruh negara mencatatkan peningkatan buat hari kedua berturut-turut hari ini.

Sebanyak 7,950 penularan telah dilaporkan seluruh negara setakat tengah hari tadi.

Walaupun masih berada pada paras 7,000, namun peningkatan yang direkodkan agak membimbangkan lebih-lebih lagi dengan kelonggaran aktiviti merentas negeri.

Menjelang cuti panjang hujung minggu ini, tentunya ramai yang telah berkira-kira untuk pulang ke kampung halaman atau bercuti.

Namun begitu, perlu diingatkan sekali lagi, patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ada – jaga penjarakan fizikal, jangan berada di kawasan sesak dan amalkan kebersihan kendiri.

Sebelum mulakan perjalanan, lakukan ujian kendiri COVID-19 – semasa dalam perjalanan, hindari tempat sesak bagi mengelakkan jangkitan berlaku.

Jangan terlalu gembira untuk merentas negeri hingga mengabaikan tanggungjawab mematuhi SOP kerana kita sudah berada dalam norma baharu.

Nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, negara masih lagi belum ‘menang sepenuhnya’ dengan kelonggaran rentas negeri akan menyaksikan kita bertempur di ‘medan perang’ baharu dengan strategi baharu.

Baca artikel berkaitan: Empat hari turun, kes baharu naik sedikit kepada 7,276

Kata beliau, Malaysia hanya boleh menang jika semua pihak memainkan peranan masing-masing mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan.

Kes baharu mula menunjukkan penurunan pada Jumaat lalu dengan kekal berada di bawah paras 10,000.

Semalam, kes baharu naik sedikit kepada 7,276 jangkitan selepas turun kepada 6,709 kes, Isnin lalu.

Jumlah 6,709 itu adalah kali pertama kes COVID-19 dilaporkan di bawah angka 7,000 dalam tempoh 100 hari.

Jangkitan COVID-19 mula turun ke paras empat angka pada 3 Oktober lalu dengan 9,066 kes telah dilaporkan.

Menurut perkongsian Dr. Noor Hisham, kumulatif jangkitan COVID-19 di Malaysia berjumlah 2.361 juta kes.

“Sehingga 13 Oktober 2021: Jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah: 7,950 kes (2,361,529 kes).

“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya menerusi media sosial hari ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Kita mesti ada disiplin, kepatuhan sosial SOP – Dr. Noor Hisham

ORANG ramai diingatkan supaya terus mempunyai disiplin dan kepatuhan sosial terhadap prosedur operasi standard (SOP) menjelang hujung minggu pertama selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan negara masih lagi belum ‘menang sepenuhnya’ dengan kelonggaran rentas negeri akan menyaksikan kita bertempur di ‘medan perang’ baharu dengan strategi baharu.

Kata beliau, Malaysia hanya boleh menang jika semua pihak memainkan peranan masing-masing mematuhi SOP dan garis panduan ditetapkan kerajaan.

Dr. Noor Hisham turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak di Kementerian Kesihatan (KKM) yang telah bekerjasama mengawal penularan wabak COVID-19 dalam negara.

Menurut beliau, KKM sudah meletakkan prinsip panduan jelas dalam menghadapi wabak itu dan kini tanggungjawab terletak pada bahu semua pihak untuk melaksanakannya.

“Kita sudah berjaya sejauh ini bagi mengelakkan bencana nasional seperti yang berlaku di kebanyakan negara lain.

“Kita hanya boleh memenangi peperangan ini sekiranya semua rakyat Malaysia bersama-sama menjalankan tanggungjawab, disiplin dan kepatuhan sosial terhadap SOP – menerapkan penjarakan fizikal, melakukan langkah berjaga-jaga dan menjaga kebersihan kendiri.

“Menjelang hujung minggu ini, ramai yang akan pulang ke kampung tetapi gunakan masa yang ada untuk merancang dan melakukan apa yang perlu untuk mematuhi SOP dan norma baharu,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya.

Baca artikel berkaitan: “Jangan terlalu gembira sampai lupa SOP kalau dah boleh rentas negeri”

Kerajaan telah membenarkan aktiviti rentas negeri bermula kelmarin seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahad lalu.

Menurut Perdana Menteri, kebenaran itu sejajar dengan kadar vaksinasi populasi dewasa di Malaysia yang mencecah 90 peratus.

Mengulas lanjut. Dr. Noor Hisham berkata, kita semua perlu belajar menyesuaikan diri dengan norma baharu kerana dunia tidak lagi sama.

Katanya, semua pihak perlu tahu setiap tindakan seseorang individu itu mempunyai kesan berganda kepada bagaimana kita menguruskan COVID-19 dalam komuniti.

“Kita perlu semua pihak melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan Keluarga Malaysia selamat daripada COVID-19. Ini adalah tanggungjawab sosial, kita perlukan disiplin dan kepatuhan sosial bagi mengamalkan SOP sedia ada.

“Mari kita bersama-sama membantu dan bersama-sama bagi memastikan orang tersayang terutama golongan rentan selamat,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram

Zahid kata lah apapun…Pas tetap pertahankan MN, berjuang bersama PN

0

JIKA sebelum ini Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi dilihat berkias dalam soal hubungan UMNO dengan Pas dalam Muafakat Nasional (MN) tapi dalam satu wawancara malam tadi Presiden UMNO itu tidak berlapik lagi.

Beliau secara terus terang berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu mahupun Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Kalau diteliti kenyataan Ahmad Zahid, beliau dengan tegas berkata, ‘’oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana PRK-PRK yang pernah diadakan.

‘’Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji BN secara solo. Dan insha-Allah rakyat memilih parti yang terbaik.’’ Beliau juga bercakap soal khianat mengkhianati yang semua tahu ia ada kaitan dengan tindakan Pas menjadi anggota rasmi kepada Perikatan Nasional (PN).

Menariknya, kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat pada hari yang sama gambar beberapa pemimpin UMNO dan Pas makan bersama di sebuah restoran yang dihadiri oleh Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Walaupun tidak tahu apakah ia sekadar makan-makan biasa atau sedikit sebanyak menyentuh juga soal Muafakat Nasional yang ketika ini semakin tidak menentu memandangkan antara kepemimpinan UMNO dan pemimpin UMO dilihat bertentangan.

Soalnya kenapa tidak ada kenyataan rasmi daripada Ahmad Zahid bahawa tiada lagi kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional? Kenapa hanya berkias dan membuat kenyataan melalui wawancara sahaja? Adakah beliau sendiri teragak-agak kerana tahu ada ditentang oleh pemimpin-pemimpin UMNO sendiri?

Ahmad Zahid seharusnya berterus terang. Sebagai Presiden UMNO beliau perlu ada keberanian untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

Atau adakah mungkin hanyalah beliau dan penyokong-penyokongnya sahaja tidak mahu Muafakat Nasional sedangkan pemimpin dan ahli UMNO lain mahu meneruskan hubungan itu kerana tahu ia akan memberi keuntungan politik kepada UMNO seperti mana beberapa keputusan PRK sebelum ini?

Ahmad Zahid tidak harus bernostalgia dengan sejarah silam UMNO kononnya parti itu akan berupaya mencapai kejayaan camerlang dengan turun secara solo dengan mengarak panji-panji Barisan Nasional. Zaman politik berjuang secara bersendirian ini sudah berlalu, apatah lagi kalau parti itu dilihat ‘ada masalah’ dari segi kepemimpinan.

Atas sebab itulah Pas masih terus berusaha mempertahankan Muafakat Nasional, walaupun Ahmad Zahid semakin melihat Pas ‘sebelah mata sahaja’. Ahmad Zahid tidak menghargai kesabaran Pas untuk mempertahankaan Muafakat Nasional kerana beliau marah Pas menjadi anggota Perikatan Nasional.

Bagaimanapun penulis yakin Pas tidak akan bertindak balas kerana Pas mahu berkawan dengan kedua-duanya sama ada dengan UMNO mahupun Bersatu. Misi Pas adalah demi perpaduan ummah. Itu kata Pas…

Namun ada juga yang berkata sebenarnya, majoriti pemimpin dan ahli Pas lebih rela untuk bersama dengan UMNO berbanding Bersatu dalam PRU-15. Pas hanya mahu mengelakkan pertembungan antara parti-parti Melayu sahaja.

Justeru Pas berbuat baik dengan kedua-duanya…UMNO dan Bersatu. Secara tidak langsung ia akan menyelamatkan calon Pas daripada bertembung sama ada dengan calon UMNO dan Bersatu. Bagaimana pula dengan calon UMNO dan Bersatu, apa pendirian Pas.

Pas sudah kata mereka akan menyokong calon penyandang bagi sesuatu kawasan. Kalau itu keputusannya maknanya Pas akan menyokong calon UMNO di 15 kawasan yang ahli Parlimennya berubah angin ke Bersatu selepas PRU-14 lalu. Adakah Bersatu akan merelakannya?

Kenapa Pas mahu menyokong calon penyandang? Kenapa tidak biarkan sahaja UMNO dan Bersatu bertarung sesama sendiri? Kalau macam itu apa ertinya Pas berada dalam Perikatan Nasional, kalau mereka terpaksa menyokong parti lawan yang menentang rakan komponen sendiri atas alasan ‘kerusi penyandang’?

Sebenarnya pendirian Pas dalam soal perjalanan menuju ke PRU-15 agak mengelirukan dan mungkin memeningkan. Ia kerana Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO sudah memberikan kenyataan yang jelas berhubungan Muafakat Nasional, justeru pemimpin Pas pun beranilah membuat kenyataan tegas demi menjaga maruah parti itu.

Tak kan bila seorang Presiden parti sudah menolak sebarang kerjasama, Pas masih lagi terhegeh-hegeh mahu bersama? Pas perlu membuat pendirian jelas, mungkin Pas boleh tegaskan akan bersama Perikatan Nasional tetapi tidak akan bermusuh dengan UMNO. Bagaimana caranya Pas fikirkanlah. Yang pasti Ahmad Zahid tidak mahu Pas.

Mungkin Pas berhujah, pemimpin-pemimpin lain dalam UMNO mahu terus bersama Muafakat Nasional. Soalnya siapa paling berkuasa, kalau Presiden sudah memberi bayangan sedemikian adakah ada mana-mana pemimpin UMNO berani bersuara?

Kalau ada keberanian, sudah lama mereka akan meminta Ahmad Zahid mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan UMNO mempunyai barisan kepemimpinan mantap apabila masuk ke gelanggang pilihan raya? Adakah Ahmad Zahid tidak mantap mengepalai UMNO ke dalam pertarungan itu…semua tahu jawapannya.

Apapun yang pasti Ahmad Zahid katalah apapun pasal Muafakat Nasional, Pas tidak akan ‘terasa hati’ kerana tahu tiada mana-mana parti yang akan menang dengan berjuang sendirian…cuma Ahmad Zahid sahaja yang terus bermimpi. Justeru Pas akan bersama MN dan berjuang bersama PN…siapapun menang parti itu akan untung…Itulah seni politik…

Bekalan air disalur berperingkat mulai esok – Air Selangor

BEKALAN air di 998 kawasan Lembah Klang yang terganggu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan akan mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna mulai pukul 5 petang, esok.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan, ia akan mula disalurkan secara berperingkat setelah sistem bekalan air telah distabilkan.

Menurut Air Selangor, buat masa ini, kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) telah dimulakan pada pukul 9 pagi tadi mengikut jadual.

Katanya, kerja-kerja itu dijangka siap pada pukul 11 malam ini.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem bakalan air.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 9 malam, Sabtu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Air Selangor memaklumkan akan menyediakan bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki ke premis-premis kritikal.

Baca artikel berkaitan: 998 kawasan Lembah Klang bakal alami gangguan air

Air Selangor memberitahu, ia termasuk hospital, pusat dialisis, pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 (PKRC) dan pusat pemberian vaksin (PPV) serta untuk upacara pengebumian.

“Senarai lengkap kawasan-kawasan yang terjejas, pili air awam dan stesen pengisian air komersial boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.

“Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor; Facebook; Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

“Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Pusat Bantuan di laman web www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” jelas syarikat itu.

Sebanyak 998 kawasan Wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini.

Pelaksanaan kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal di LRA SSP1 tertangguh daripada jadual asal iaitu pada 2019 dan 2020, berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.

Pelaksanaan kerja itu sudah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaik-taraf sistem bekalan air, demi keselesaan pengguna pada masa hadapan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram