RAIHAN

WALAUPUN negara dilanda gelombang wabak Covid-19, namun pejuangan irama nasyid tidak pernah luntur malah semakin mendunia di persada antarabangsa.

Biarpun rakyat Malaysia berjuang berhabis-habisan bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19, ia tidak menjadi penghalang buat barisan kumpulan nasyid untuk membuat persembahan sebagai medium berdakwah.

Kumpulan Raihan, Rabbani dan Inteam baru-baru ini telah dijemput mengadakan persembahan dalam talian untuk sebuah acara tahunan yang dianjurkan di Toronto, Kanada iaitu Reviving Islamic Spirit Covention (RIS).

RABBANI

Azadan daripada kumpulan Rabbani bersyukur kerana hasrat untuk menyebarkan dakwah dengan meluas akhirnya terlaksana dengan adanya program seperti RIS.

“Alhamdulillah, hikmah yang baik dari wabak kali ini ialah kami berpeluang mengadakan persembahan di luar negara secara atas talian tanpa perlu meninggalkan keluarga untuk tempoh perjalanan ke luar negara yang lama dan pastinya memenatkan.

“Walaupun tidak dapat ke Kanada, namun mesej dakwah yang kami cuba bawa melalui lagu-lagu nasyid kami masih tetap dapat disebarkan bukan sahaja kepada penonton di Kanada, bahkan seluruh dunia yang menyertai konvensyen secara maya ini,” katanya yang dinobatkan sebagai Vokal Terbaik dalam Anugerah Nasyid Malaysia 2020 (ANAM 2020) baru-baru ini.

INTEAM

Sementara itu, anggota kumpulan Inteam, Hazamin menghargai kepercayaan penganjur yang mengundang kumpulan mereka bagi turut serta dalam acara berprestij itu.

“Alhamdulillah, Anugerah Kembara yang kami peroleh di ANAM 2020 pasti akan menjadi pembakar semangat untuk terus mengikuti jejak langkah Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Brothers untuk terus melebarkan sayap dakwah ke seluruh dunia melalui nasyid.

“Kami bersyukur kerana kali ini kami diberi kepercayaan oleh penganjur RIS untuk menguruskan rakaman kandungan dan pengurusan artis bagi segmen persembahan Artis Malaysia dalam acara berprestij seperti RIS Convention ini,” tambah Hazamin lagi.

Manakala wakil kumpulan Raihan iaitu saudara Che Amran pula ketika ditanya berkenaan jemputan persembahan antarabangsa secara atas talian tersebut menjawab “Alhamdulillah, daripada pengalaman kami mengembara ke serata dunia menyampaikan nasyid, kami lihat nasyid Malaysia sangat diterima di peringkat antarabangsa. Syukur, kali ini kami berpeluang pula meneruskan persembahan luar negara melalui persembahan norma baharu secara atas talian.

“Saya merasakan, inilah masa yang sangat sesuai untuk kerajaan Malaysia membantu dan menyokong kumpulan-kumpulan nasyid membawa nama Malaysia dan menjenamakan nasyid Malaysia di peringkat antarabangsa. Kami berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal Agama yang menyokong penuh ANAM 2020 baru-baru ini,” ujar beliau yang baru menerima Anugerah Khalifah iaitu anugerah khas untuk kumpulan Raihan yang menjadi pencetus fenomena nasyid kontemporari di Malaysia.

Persembahan Raihan, Rabbani dan Inteam telah ditayangkan secara langsung melalui laman sesawang RISConvention.com baru-baru ini pada 27 Disember 2020 dan dapat ditonton oleh peserta-peserta konvensyen tersebut yang membayar tiket bernilai 25 dolar dari seluruh dunia.

Antara seleksi lagu yang disampaikan ialah, Thank You Allah, Allahu, Ahmad Ya Habibi, Maulana, Qamarun, Salamun Salam, Tola’al Badru dan banyak lagi.