Sekolah: Seluruh negara kelas online, bersemuka untuk SPM, STPM

Dari Penulis


KUALA LUMPUR
– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.

Menurut satu kenyataan, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Memetik laporan portal Astro Awani, semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.

Menurut Twitter Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, ketetapan ini dibuat setelah berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“KPM komited untuk sentiasa melakukan yang terbaik. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul,” katanya.

Dalam pada itu, jelas kenyataan KPM itu, memandangkan ada murid sudah mula mendaftar masuk di asrama mulai 16 Januari 2021, KPM telah membuat dua ketetapan masing-masing membabitkan sekolah berasrama penuh dan asrama sekolah harian seperti berikut:

Sekolah Berasrama Penuh
*Murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah; atau
• boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Asrama Sekolah Harian
*Murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah; atau
• boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.

Jelas KPM, keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah.

Bagi tujuan pengoperasian sekolah pula, kenyataan itu menyebut, semua guru hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20 Januari 2021.

“Guru yang terlibat dengan kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka. Guru yang lain akan melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan yang ditetapkan oleh ketua jabatan,” kata kenyataan itu.

Kata KPM lagi, bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.

Sementara itu, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.

“Pelajar yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk masuk ke asrama atau kekal berada di rumah masing-masing. PdP untuk semua pelajar IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.

“Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Pada masa yang sama, keyataan itu menyebut, semua tadika swasta yang berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.

“KPM menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan negeri.

“KPM sentiasa komited membantu usaha kerajaan dalam melandaikan keluk penularan wabak COVID-19,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Lelaki maut dipercayai terjatuh dari tingkat 26 kondominium di Penampang

SEORANG lelaki ditemukan maut berhampiran lobi sebuah kondominium dipercayai terjatuh dari tingkat 26 bangunan itu di Penampang, petang semalam. Ketua...

More Articles Like This