KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak RM500 kepada 118,000 pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain itu, bantuan tersebut turut diberikan kepada 14,000 pemandu pelancong.
Katanya, bantuan tersebut bagi meringankan beban golongan berkenaan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta.
“Selain itu, Kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun.
“Sukacita dimaklumkan, bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021,” katanya berucap mengumumkan Pakej Bantuan Khas hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi.
Di bawah skim ini, katanya, 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan.
“Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka
serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah.
“Jaminan sebanyak RM1 bilion akan disediakan untuk tujuan ini,”katanya.
Sementara itu, tambah Muhyiddin, kerajaan menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan sokongan dalam penghantaran barangan dan makanan semasa
tempoh kawalan pergerakan.
“Sehubungan itu, sejumlah RM24 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membiayai caruman penuh mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO.
“Setakat ini, hampir 32 ribu permohonan daripada delivery riders telah
diterima untuk perlindungan skim berkenaan,” katanya.

