Ramai rakyat meminta kerajaan membenarkan waktu operasi premis makanan di negeri PKP dilanjutkan kepada jam 10 malam. GAMBAR: Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR – Selepas didesak dan dirayu bukan hanya pengusaha makanan tetapi rakyat sendiri, kerajaan akhirnya sedia mengkaji waktu operasi kedai makan yang kini dihadkan pada jam 8 malam di tujuh negeri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, permintaan melanjutkan premis makanan sehingga 10 malam kini sedang diteliti oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai baik dan buruknya jika ia dibenarkan.

Annuar Musa

“MKN dan KKM sedang mengkaji baik buruk kedai makan dibuka sehingga pukul 10 malam.

“Apa-apa perkembangan pasti akan dimaklumkan oleh DSISY (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob),” katanya dalam satu ciapan di Twitter miliknya tengah hari tadi.

Sementara itu, Annuar turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan pergerakan dan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) kerana penularan COVID-19 masih tinggi.

Sejak hari kedua pelaksanaan PKP, Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (Presma) telah meminta kerajaan membenarkan waktu operasi dilanjutkan kepada jam 10 malam.

Selain itu, persatuan berpengaruh itu juga merayu kerajaan membenarkan pelanggan makan di premis dengan dihadkan dua orang semeja.

Ketika ditanya permintaan Presma, Ismail Sabri menjelaskan yang kerajaan belum bersedia memenuhi perkara tersebut.

Bagaimanapun ketika ini, suara desakan supaya waktu operasi restoran dilanjutkan semakin kuat kedengaran termasuk di media sosial.

Bahkan terdapat tanda pagar khusus dibuat warga maya bagi menyuarakan desakan berkenaan.

Rata-rata mereka merasakan jam 10 malam adalah wajar bagi membantu rakyat mendapatkan makanan berbanding jam 8 malam yang menyebabkan warga kota khususnya tergesa-gesa membeli makanan selepas pulang bekerja.