KUALA LUMPUR – Selepas satu, satu kisah kemiskinan masyarakat yang berjuang untuk meneruskan kelangsungan hidup dikongsi di media sosial menjadi tular.
Terbaru, perkongsian video menunjukkan seorang ibu mencari sesuatu dalam timbunan sampah dengan dua anaknya yang masih kecil menunggu di atas motosikal telah ditonton lebih 390,000 kali.
Lebih sayu, apabila kelihatan wanita itu sebak dan mengelap air matanya sebaik seorang lelaki berhenti dekat tong sampah berkenaan dan menghulurkan wang kepada anaknya.
Daripada video berkenaan yang dirakamkan teman kepada lelaki tersebut dari dalam sebuah kereta, kedengaran perbualan “gunalah duit beli nasi” dalam loghat Kelantan.
Wanita berkenaan dalam nada sebak kemudian didengar mengucap terima kasih kepada lelaki tersebut.
Video berkenaan yang dimuat naik seorang pengguna Twitter dani@danizaydi semalam mendapat respons segera netizen.
Selain melahirkan rasa simpati, tidak kurang juga ada yang menggerakkan kutipan dana untuk dihulurkan kepada wanita tersebut menerusi pertubuhan bukan kerjaan.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi mereka, kejadian berkenaan dipercayai di Tumpat, Kelantan.
Baca artikel berkaitan: Polis PJ hulur bantuan pada wanita ‘curi’ makanan, ubat untuk anak sakit
Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Asmak Hussin yang berkongsi rakaman video berkenaan menjaskan, wanita tersebut adalah penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan di bawah pengetahuan penghulu.
“Keluarga ini memang dalam bantuan JKM dan sentiasa dibantu penghulu setempat. Bagi yang nak bantu anak-anak dialu-alu kan dan boleh juga bertanya khabar dulu kepada jiran sekeliling atau penghulu bagi memastikan bantuan benar-benar membantu mereka.
“Kepada NGO serius, boleh direct hubungi saya,” ujar Senator tersebut.