Total lockdown? 2.8 juta rakyat berisiko hilang kerja – Ismail Sabri

0
1822
Suasana sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu yang biasanya penuh dengan orang ramai kini sepi. GAMBAR Abd Razak Aid

KUALA LUMPUR – Seramai 2.8 juta rakyat berisiko hilang pekerjaan manakala 2.5 juta lagi bakal terjejas pendapatan dan sukar meneruskan kelangsungan hidup jika penutupan penuh ekonomi dilakukan bagi tempoh sebulan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, andai langkah itu diambil seperti digesa pihak tertentu, kumpulan rakyat B40 dijangkakan kehilangan pendapatan sebanyak RM6.45 bilion sebulan dengan purata RM2,400 satu keluarga.

Ismail Sabri Yaakob. Gambar FB Kementerian Pertahanan

“Dan menurut laporan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020 sehingga Oktober 2020, sebanyak 13,445 syarikat telah tutup operasi.

“Tutup operasi bermakna ramai yang telah hilang pekerjaan. Maka keadaan hari ini akan menjadi semakin susah jika total lockdown seperti dicadangkan sesetengah pihak dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Sehubungan itu jelas Ismail Sabri, kerajaan dalam membuat sesuatu keputusan akan menimbangkan sedalam-dalamnya dua aspek ini iaitu antara keperluan kesihatan dan ekonomi.

Katanya, sebelum sampai tempoh 4 Februari, kerajaan dan agensi-agensi terlibat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan berbincang secara teliti kesan-kesan yang akan timbul jika sesuatu keputusan diambil.

“Maka, sebelum berakhir PKP 4 Februari ini, saya atau Ketua Pengarah Kesihatan akan umum (apa selepas ini). Yang penting kita akan ambil kira kepentingan rakyat keseluruhan,” ujarnya.

Ismail Sabri mengulas gesaan pihak tertentu yang merasakan PKP 2.0 kurang berkesan dalam mengurangkan kes baru COVID-19 berikutan SOP kali ini yang lebih longgar berbanding Mac lalu.

Antara yang lantang membangkitkan perkara ini ialah Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan menerima banyak permintaan ketika ini antaranya daripada peniaga pasar malam, pemilik kedai guntung rambut, kedai cuci kereta dan sebagainya untuk membenarkan mereka beroperasi.

Baca artikel berkaitan: Merosot dan terus merosot, peniaga tepi jalan rayu kerajaan benarkan pasar malam

Katanya, setiap permintaan ada hujah masing-masing namun MKN dan KKM akan mengemukakan penilaian risiko sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

“Setiap cadangan akan dipertimbang sebaik-baiknya. Kerajaan lihat semua aspek, kesihatan dan juga aspek ekonomi bagi membolehkan rakyat meneruskan kehidupan.

“Namun buat masa ini, ikutilah SOP yang telah diputuskan. Jaga kesihatan masing-masing, kalau tiada urusan di luar rumah, duduklah di rumah,” ujarnya.