HAFREEZ Adam kecewa persepsi masyarakat mengenai isu lelaki yang menjadi mangsa gangguan seksual kaum wanita

PELAKON Hafreez Adam mendedahkan dirinya pernah menjadi mangsa gangguan seksual ketika berada di lokasi penggambaran.

Amat memeranjatkan apabila Hafreez atau Hafreez Adam Aizat Zahalan,31, mendedahkan si pelaku yang suka memegang dada dan punggungnya itu adalah seorang wanita.

“Benda ini pernah terjadi kepada saya di set penggambaran. Ada seorang perempuan (berperwatakan seperti lelaki) suka pegang punggung dan dada saya.

“Mula-mula saya terkejut kemudian dia gelak. Saya tahu dia bergurau sebab dia cakap tak suka lelaki pun. Tetapi masalahnya ini badan saya.Saya tak selesa orang pegang atau tepuk dekat situ.

“Saya pernah cakap “janganlah aku tak suka”. Tapi dia buat juga sebab pada dia, itu hanya sekadar gurauan. Silap saya juga sebab tak bertegas,” katanya.

PERKONGSIAN Hafreez di Instagram yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual

Tambah Hafreez lagi, mimpi ngerinya itu masih lagi berulang apabila wanita berkenaan tetap melakukan perkara yang sama meskipun dia sudah menegur perbuatannya yang tidak bermoral itu.

“Ada satu masa ketika penggambaran di pusat membeli-belah, dia buat lagi. Saya cakap ‘kau kenapa? kau nak aku pegang kau juga ke?’ Itu benda bodoh yang pernah saya katakan, jangan cakap macam itu okey! sebab ketika itu saya sedang marah.

“Kemudian, dia pantas cakap ‘tak boleh, aku perempuan’ sambil gelak-gelak. Waktu itu barulah saya sedar betapa isu ini berat sebelah pada mata orang.

“Kalau perempuan buat, tak apa sebab ia dianggap gurauan. Tapi kalau lelaki yang buat, laju sahaja kena kecam. Dan bila golongan lelaki bercakap tentang isu ini, orang pandang serong.

“Jangan jadikan benda ini normal dan okey untuk melakukannya. Ia okey kalau kedua-dua pihak tidak kisah tetapi kalau salah seorang tak suka, itu gangguan seksual,” luahnya.

HAFREEZ menganggap perbuatan menyentuh tubuh badan orang lain ialah sesuatu yang tidak normal

Terdahulu pelakon drama Putri Yang Ditukar itu bertanyakan soalan kepada pengikut Instagramnya di Instagram Story mengenai isu jika seorang lelaki bergurau dengan menyentuh punggung perempuan dan rata-rata jawapan diberi menganggap ia adalah satu bentuk gangguan seksual.

Hafreez kemudian bertanyakan lagi soalan yang sama tetapi kali ini dia meletakkan wanita sebagai pelaku, namun sebaliknya jawapan yang diberikan oleh warga net tidak pula menganggap ia sebagai gangguan seksual.