Ibuku mula sakit
Ibu pun masih belum mati. Tak dapatkah aku melanjutkan lagi keturunan kami? Ibuku menyoal suatu hari: “Anak, kenapa tidak membawa pulang seorang isteri?”
Pertanyaan itu tidak mengejutkan aku. Dengan perasaan yang agak buruk aku menjawab: “Oh, sudah tentu ibu, sedikit hari lagi.”
Ibuku mulai berbicara dengan jiran-jiran kami yang hampir-hampir semuanya berambut putih. Pembicaran itu memakan masa beberapa hari pula. Setiap kali ibu pulang ke rumah setiap kali pula dia kelihatan murung. Hal ini merumitkan fikiranku. Setiap hari aku menyoalnya, “Kenapa, bu?”
Dan dia akan menjawab : “Tidak apa-apa.”
Di bawah sebutan `tidak apa-apa’ itu aku tahu hati ibu sudah berputus harapan dan kecewa.

Dua minggu berlalu. Ibu berhenti keluar. Mereka yang tak pernah ketawa padaku dulu, sekarang mulai ketawa. Seorang tua yang penuh uban pernah mengeluh, “Kasihan! Begitu bersusah-payah ibunya mencari isteri. Oh tuhan. Kenapakah kau menciptakan manusia seumpama itu?”
Secara rahsia aku mulai berhias. Aku cuba mengenakan pakaian-pakaian yang cantik-cantik. Tapi perbuatan itu cuma memuakkan lagi. Mana bisa seekor gagak dapat dijadikan angsa; walau beberapa kali mandi sekalipun.
Biar aku lanjutkan ceritaku. Kesudahannya aku dapat seorang kekasih. Mungkin saudara tertunggu-tunggu hendak mengetahui cerita-cerita aku…
Cerita cinta seorang manusia yang berupa monyet. Aku ingin mencintai seorang gadis dan ingin pula dicintai. Bukankah ini kebiasaan? Cerita cintaku ini adalah sebuah kisah yang paling istimewa. Cerita tentang seorang gadis yang seratus peratus menaruh kasih kepadaku dan kemudian menjadi isteri padaku: dengan tidak memikirkan keburukan rupaku yang tersangat jelik dipandang ini.
Kegiatan ibuku untuk mendapat menantu gagal. Mana ada gadis yang sanggup mencintai monyet? Akibatnya ibuku jatuh sakit yang tak bisa sembuh lagi. Ibuku yang sering menenteramkan perasaanku, ibuku yang menaruh kasih sayang padaku, ibuku yang menaruh kepujian ke atas rupaku, ibuku yang menjadi nyawaku, kesudahannya mati. Aku tinggal sebatang kara.
Aku tidak akan menangis kerana ibuku tidak ada kekuatan lagi untuk mengganggui penderitaanku.
Tiba-tiba suatu perkara berlaku. Aku dengar orang mengetuk-ngetuk anak tangga dengan tongkat. Dan kemudian aku dengar suara perempuan: “Kasihanilah pada seorang pengemis.”
Aku menjenguk dan mendapati seorang wanita.
“Aku buta, tuan,” sambungnya lagi.
Aku meneliti tubuhnya dan kemudian meneliti pula kedua matanya. Sungguh menyayat hati pandangan itu. Melupakan aku. Aku berfikir: “Kasihan, dia masih gadis nampaknya tapi matanya buta. Penghidupannya hanya bergantung pada pendengaran dan sentuhan semata-mata.”