PELAKON dan pengarah Isma Yusoof mendedahkan jika dia bangga bahawa dirinya seorang pondan dan telah memiliki kecenderungan itu sejak dia masih kecil lagi.

Pengakuan berani mati itu dibuat oleh Isma atau nama sebenarnya Muhamad Ismaizal Yusoof,38, selepas dia menerima banyak pertanyaan daripada pengikut di media sosial yang rata-rata ingin tahu mengenai perubahan dirinya.

Dedah pelakon drama bersiri Emil Emilda itu, dia tidak ambil kisah jika ada yang melemparkan kecaman terhadapnya selepas membuat pendedahan tersebut.

Malah, tegasnya lagi, dia berbangga dengan keadaannya yang merupakan seorang pondan dan tidak mahu menjadi hipokrit demi memuaskan hati orang lain.

“Ya, saya memang pondan dari kecil lagi. Kalau anda tengok gambar-gambar saya sewaktu kecil, memang kerap kali bergaya seperti seorang perempuan.

“Cuma, berdasarkan lakonan Isma yang anda tonton, memanglah kebanyakkannya watak-watak lelaki sejati. Itu dah namanya seorang pelakon dan sebahagian daripada skop pekerjaan kami,” katanya menerusi perkongsian video di Instagram.

ISMA mengaku nalurinya lebih kepada kewanitaan

Sementara itu, pengarah filem Blok 404 ini turut menegaskan jika dia tidak perlu menjalani pembedahan menukar jantina atau pembedahan kosmetik demi untuk kelihatan seperti seorang wanita.

Menurutnya lagi, walaupun nalurinya lebih ke arah kewanitaan, namun ia bukan tiket untuk dia membuat sebarang perubahan terhadap bentuk badan dan wajahnya.

“Ada yang persoalkan suara saya dan cakap muka saya ini seperti jantan. Tak macam Sajat atau pondan yang makan hormon.

“Kenapa saya nak kena makan hormon? Bila anda tidak terima golongan seperti kami, itu yang pondan ramai makan hormon.

“Potong itu, potong ini…buat pembedahan sana dan sini menjadi seorang wanita untuk masyarakat terima. Saya gembira dengan wajah, badan dan suara saya. Tak perlu nak kepitkan suara dan sebagainya.

“Saya terima diri saya sebagai pondan. Saya memang tak ada nafsu dekat wanita, dalam diri saya adalah wanita jadi seksual saya lebih kepada lelaki maskulin,Insya-Allah,” tuturnya.

Jom join channel Telegram UtusanTV untuk ikuti berita terkini dan sensasi

TONTON VIDEO PILIHAN: