PKP 2.0 membenarkan para peniaga kecil beroperasi bagi memastikan impak ekonomi dapat dikurangkan. / GAMBAR Abd Razak Aid.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan total lockdown akan memberikan kesan amat negatif terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat dengan banyak kilang terpaksa ditutup, perniagaan gulung tikar dan rakyat akan hilang mata pencarian.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehidupan rakyat pastinya akan terjejas dengan teruk dan ini adalah satu keadaan yang mesti dielakkan walaupun langkah itu diakui cukup berkesan menghentikan rantaian penularan COVID-19.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Pada masa yang sama, sekiranya pergerakan rakyat tidak dikawal, kita tidak akan dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19. Kes akan terus meningkat, hospital di negara kita tidak dapat menampung kes-kes baharu yang semakin bertambah dengan mendadak, sistem kesihatan awam kita akan lumpuh, dan nyawa rakyat akan terancam.

“Ini juga satu keadaan yang mesti kita elakkan. Jadi, dalam situasi pandemik pada masa ini, Kerajaan perlu mencari satu keadah yang berimbang, iaitu memastikan kehidupan ekonomi rakyat terus terjamin dan nyawa rakyat terus dilindungi.

“Kaedah yang terbaik pada masa ini ialah membenarkan sektor-sektor ekonomi perlu untuk terus beroperasi dan pada masa yang sama melaksanakan SOP yang ketat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang sudah pun berada di tempat kerja, di kawasan kediaman dan di dalam komuniti kita,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam perutusan khas beliau hari ini.

Baca artikel berkaitan: ‘’ …Kita juga tidak mahu rakyat kita mati kerana tak makan’’ – mesej Ismail Sabri kepada pengkritik PKP

Total lockdown? 2.8 juta rakyat berisiko hilang kerja – Ismail Sabri

Tambah Muhyiddin, beliau tahu bahawa ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai dan bagaimana hendak memastikan rakyat yang keluar bekerja atau keluar untuk membeli barangan keperluan harian tidak terkena jangkitan COVID-19.

Pastinya, kata beliau, ini memerlukan kerjasama semua pihak dan majikan misalnya, telah ada arahan supaya hanya 30 peratus pekerja dalam kategori pengurusan yang boleh hadir ke pejabat atau premis perniagaan, manakala yang lainnya mesti bekerja dari rumah atau work from home.

“Apabila arahan ini dipatuhi, sekurang-kurangnya 70 peratus daripada pekerja dalam kategori ini tidak berada di pejabat atau di premis-premis perniagaan. Mereka dikehendaki stay at home.

“Ini bermakna walaupun Kerajaan tidak melaksanakan lock down, pergerakan orang ramai dalam pengangkutan awam, di jalan raya dan di premis-premis pejabat dan perniagaan dapat dikurangkan dan pada masa yang sama ekonomi dan industri dapat terus beroperasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Perdana Menteri, pelaksanaan PKP kali ini telah menghasilkan kesan yang positif di beberapa buah negeri seperti Kelantan, Kedah, Terengganu dan Pahang yang mula menunjukkan trend jumlah kes harian baharu yang semakin melandai.

Namun begitu, katanya, peningkatan kes masih berlaku terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor yang merupakan negeri yang berkepadatan tinggi di samping mempunyai kegiatan ekonomi dan industri yang rancak.