KUALA LUMPUR – Kebenaran meningkatkan jumlah jemaah sehingga separuh kapasiti masjid dan surau di Wilayah Persekutuan sememangnya sesuatu yang dinanti-nantikan umat Islam di ibu negara.
Peluang bermula hari ini untuk solat jemaah dan solat Jumaat itu tidak dilepaskan dengan ramai yang datang seawal jam 12 tengah hari bagi mengelakkan terlepas kesempatan yang diberikan.
Apatah lagi selepas hampir sebulan kebanyakan umat Islam tidak dapat menunaikan solat Jumaat berikutan had jemaah dihadkan pada jumlah minimum susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak COVID-19.
Baca artikel berkaitan: Lebih ramai boleh solat jemaah di Wilayah Persekutuan mulai esok


Menurut seorang jemaah Masjid Jamek Alkhadijiah, Kampung Pantai Dalam, Abdullah Sani Kamaruddin,47, beliau sangat bersyukur dengan pengumuman berkenaan.
“Sebulan tak dapat solat Jumaat, saya dah rasa macam lama, syukur sangat minggu ni saya dapat solat Jumaat.
“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka Bagina Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Seorang lagi jemaah, Muhammad Firdaus Abu Talib, 25, walaupun jumlah jemaah untuk solat Jumaat hanya separuh kapasiti masjid, itu sudah cukup buat ramai gembira.
“Saya berharap semua jemaah mematuhi segala SOP yang ditetapkan agar penularan COVID-19 ini dapat dielakkan,” ujarnya.

Baca artikel berkaitan: PKP: Solat Jumaat di luar pagar masjid
Minggu lalu, UTUSANTV menyiarkan berita di mana sebahagian daripada umat islam di Kuala Lumpur memilih menunaikan solat jumaat di luar pagar masjid.