1,647 kes baharu

KES positif COVID-19 hari ini meningkat kepada 1,647 penularan setelah dua hari berturut-turut mencatkan kes di bawah angka 1,500 kes.

Lima daripada penularan baharu merupakan kes import manakala satu pertiga daripada kes tempatan terdiri daripada pesakit warga asing.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 712 kes atau 43.23 peratus.

Menurut beliau, daripada jumlah kes baharu di Selangor itu, sebanyak 619 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Katanya, negeri kedua tertinggi yang mencatatkan kes baharu hari ini ialah oleh Johor sebanyak 170 kes, Pulau Pinang, 169 kes dan Sarawak, 168 kes.

“Hari ini juga menyaksikan sembilan lagi kematian dilaporkan menjadikankes kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,200 kes.

“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan empat kes di Selangor, dua kes di Johor dan masing-masing satu kes di Perak, Kelantan, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kesemua kes kematian melibatkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: 1,448 kes baharu, hari kelima berturut-turut bawah 2,000

Walaupun meningkat sedikit berbanding semalam, namun hari ini merupakan hari keenam berturut-turut kes harian COVID-19 berada di bawah paras 2,000 kes.

Sementara itu, kata Noor Hisham, sebanyak 2,104 kes sembuh dilaporkan menjadikan keseluruhan kes discaj sebanyak 300,620 kes.

Ujar beliau, perkembangan hari ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 terus turun kepada 17,544 kes.

“Ketika ini, 147 individu positif COVID-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 61 memerlukan alat bantuan pernafasan,” jelasnya.

Noor Hisham dalam kenyataan itu juga memaklumkan terdapat lima kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini.

Katanya, ia melibatkan tiga kluster berkaitan tempat kerja, serta masing-masing satu kluster berkaitan komuniti dan pusat tahanan.

Dua daripada kluster tersebut dilaporkan di Johor manakala masing-masing satu di Selangor, Melaka dan Sabah.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram