PEMUDA UMNO Titiwangsa menyokong penuh kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan agar UMNO menggerakkan usaha ‘the Remaking of Malaysia’.
Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, UMNO perlu menjadi parti utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang supaya kestabilan politik, pemacuan ekonomi negara dan ikatan perpaduan nasional dapat dipulihkan.
“Masa sudah tiba untuk pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional merangka strategi khusus bagi menarik sokongan rakyat kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum akan datang.
“Kita harus tampil menawarkan pilihan yang lebih baik untuk pengundi sekiranya mahu kembali menjadi sebuah parti induk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Pemuda UMNO khususnya di Bahagian Titiwangsa konsisten bekerja keras untuk menarik sokongan golongan muda, namun kita harus ada tawaran yang menarik buat mereka.
“Kita tidak boleh lagi sekadar menjual sejarah. Bagi golongan muda, tawaran masa depan lebih penting daripada nostalgia untuk kenangan,” katanya.
Katanya, pada masa yang sama, UMNO juga harus tampil sebagai parti yang peka dengan keperluan rakyat apatah lagi ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

