KLUSTER penjara dan pusat tahanan terus melaporkan pertambahan kes COVID-19 dengan tertinggi hari ini melibatkan Kluster Penjara Jalan Harapan (Sungai Buloh) sebanyak 89 kes.
Malah, Kluster Penjara Jalan Harapan juga merupakan kluster tertinggi yang melaporkan kes baharu hari ini dengan dua lagi ialah Kluster Perusahaan Perai Tiga, 60 kes dan Kluster Industri Parit Raja, 38 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keseluruhannya sebanyak 105 kes yang dilaporkan hari ini adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Katanya, selain Kluster Penjara Jalan Harapan, Kluster Tembok Sri Aman mencatatkan enam kes, Kluster Pagar Bukit Chagar (empat), Kluster Tembok Taiping (dua), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (dua), Kluster Tembok Mempaga (satu), dan Kluster Tembok Tapah, satu.
“KKM juga ingin memaklumkan terdapat empat kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini yang melibatkan tiga tempat kerja dan satu kluster komuniti.
“Kluster-kluster berkenaan dilaporkan di Pahang, Pulau Pinang, Johor dan Selangor,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Noor Hisham, ketika ini masih terdapat 348 kluster aktif dan daripada jumlah itu, 47 kluster melaporkan pertambahan kes hari ini.
Katanya, pada masa sama sebanyak 10 kluster telah diisytihar tamat.
Sementara itu, Noor Hisham memalumkan sebanyak 1,285 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dengan 17 daripadanya merupakan kes import.
Jelas beliau, daripada 1,268 kes tempatan, 21.2 peratus atau 269 kes terdiri daripada warga asing.

“Pada hari ini, Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 374 kes (29.1 peratus).
“Ini diikuti oleh Sarawak sebanyak 211 kes (16.4 peratus) dan Pulau Pinang sebanyak 162 kes (12.6 peratus),” ujarnya.
Baca artikel berkaitan: Tak nak pergi kerja punya pasal, remaja kemuka laporan palsu dijangkiti COVID-19
Jelasnya, terdapat empat kes kematian pada hari ini yang melibatkan dua kes di Selangor dan masing-masing satu kes di Sabah dan Sarawak.
Katanya, kesemua kes kematian melibatkan warganegara dan pertambahan tersebut menjadikan kumulatif kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 1,308 kes.
Kes sembuh yang dilaporkan hari ini pula berjumlah 1,175 dan ini menjadikan kes aktif meningkat sedikit kepada 14,203 kes.
“Daripada jumlah itu, 186 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 81 lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

