IKUTKAN Polis Johor, Geng Nicky ini rangkaiannya sangat besar.
Sebab itu, kata Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Polis Negara pernah menyebut ada agensi penguat kuasa juga disyaki terlibat selain polis.
Lebih mengejutkan rupanya agensi penguat kuasa dimaksudkan itu termasuk yang berada di barisan paling hadapan dalam memerangi rasuah.
Ini seperti mana pendedahan Ayob Khan hari ini berhubung tangkapan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Kedua-duanya bertugas di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, dengan seorang berpangkat penolong pesuruhjaya manakala seorang lagi penguasa.
Di pihak SPRM, Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki pantas memberi respons yang mereka tidak akan berkompromi dan memandang serius isu tersebut.
Malah tegas Azam, SPRM akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai suruhanjaya sekiranya ada yang terlibat.
“SPRM mengesahkan penahanan dua pegawai suruhanjaya ini yang dipercayai terlibat dengan kegiatan haram Geng Nicky.
“SPRM telah memberi kerjasama kepada pihak polis dengan menyerahkan kedua-dua pegawai berkenaan bagi membantu siasatan.
“Saya memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam hal ini malah akan menyerahkan lagi mana-mana pegawai suruhanjaya sekiranya ada yang terlibat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Baca artikel berkaitan: Penolong Pesuruhjaya SPRM, SUPT polis antara 12 ditahan berkait Geng Nicky
Abdul Hamid bertemu KP SPRM, kumpul maklumat risikan

Pada sidang akhbar 30 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mendedahkan seramai 34 pegawai dan anggota penguat kuasa terlibat sebagai ahli Geng Nicky, kumpulan yang dikaitkan dengan Pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow Soon Hee.
Kesal dengan tindakan itu, Abdul Hamid berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang terlibat dan tindakan tegas akan menanti pegawai terlibat.
Ketika diminta mengulas agensi pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat pada sidang akhbar itu, Abdul Hamid tidak mengulas lanjut dan berkata belum ada tangkapan dibuat buat masa ini.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

