PEMANDU tren pandu uji berusia 32 tahun yang terlibat dalam insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC malam tadi akan dipanggil polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisooner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis juga akan membantu pasukan panel penyiasat khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan.

“Setakat ini kami akan membantu pasukan itu untuk menjalankan siasatan selanjutnya.
“Kami akan melihat keperluan untuk memanggil pemandu berusia 32 tahun yang turut luka ringan dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama.
Beliau ditemui ketika melakukan pemantauan di pusat beli-belah di sekitar Kuala Lumpur selepas penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat dilaksanakan hari ini dengan tempoh masa pelanggan dalam semua premis peruncitan dihadkan kepada maksimum dua jam.
Baca artikel berkaitan: Tren masuk arah salah, kecuaian pemandu punca kemalangan LRT
Mohamad Zainal berkata, setakat ini lebih 60 mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), antaranya enam warga asing termasuk dari Filipina, Pakistan dan Bangladesh.
Semalam, sebanyak 47 penumpang tren dilaporkan parah manakala 166 cedera ringan dalam insiden pada 8.45 malam melibatkan sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji.
Berikutan itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan panel penyiasat khas untuk menyiasat punca insiden dan menjangkakan laporan hasil siasatan akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

