KEMUNCULAN influencer atau personaliti media sosial yang bergelar pelakon segera sejak kebelakangan ini telah membangkitkan pelbagai reaksi dalam kalangan pelaku seni.
Ada yang tidak kisah dengan perkembangan itu, tetapi ada juga yang mempertikaikan kewujudan serta peranan pelakon sedia ada jika begitu senarionya.
Memberikan pendapat selaku pengarah, Osman Ali menganggap isu memilih influencer sebagai pelakon dalam sesebuah naskah tidak sepatutunya diperbesarkan.
Ujar Osman, sudah tentu mereka (influencer) turut menjalani sesi uji bakat sebelum terpilih menjadi sebahagian tenaga pelakon dalam sesebuah rumah produksi.
“Bagi saya, penting untuk kita melihat bakat secara individu. Sebab itu penting untuk melakukan sesi uji bakat.
“Lebih baik ambil pelakon selepas selesai sesi uji bakat kemudian berilah watak yang sesuai kebolehan dan bakat yang ada.
“Yang jadi salah bila ambil influencer tanpa uji bakat. Tidak adil bagi pihak lain yang sebenarnya lebih layak.
“Saya akan berikan watak pembantu dahulu tapi jika ada bakat dan potensi serta ramai pengikut mahu melihat influencer pujaan mereka berlakon, barulah kita buat pertimbangan sama ada sesuai atau pun sebaliknya,” katanya kepada URTV.
Tambah Osman, sebelum ini dia pernah mengambil pelakon dalam kalangan personaliti media sosial dan mengakui ada di antara mereka memiliki bakat.
“Saya pun pernah ambil infuencer untuk berlakon telefilem arahan saya. Ya, saya akui berpuas hati kerana dia berjaya melakonkan watak yang dipertanggungjawabkan dengan baik.
“Pada pendapat peribadi saya, tiada salahnya memberikan mereka peluang jika betul-betul berbakat,” jelasnya.
Dalam pada itu, pengarah Masih Ada Cinta ini turut memberikan contoh seperti aktor Remy Ishak yang asalnya tidak mempunyai latarbelakang dalam bidang seni lakon.
“Setiap orang ada platform sendiri untuk memulakan langkah dalam industri. Ada yang tak pernah berlakon tetapi kini bergelar pelakon hebat.
“Contohnya Remy Ishak, dia langsung tiada pengalaman berlakon sebelum ini. Dia bekerja dalam sektor biasa dan saya masukkan dia dalam bidang seni.
“Platform awal itu penting…ada yang berpengalaman dan terus menjadi pelakon terkenal.
“Ada yang bermula sebagai pelakon tambahan, ada juga yang perlu tunggu bertahun-tahun…ada juga terus jadi hero walau tiada pengalaman berlakon,” ujarnya.
Osman kini tampil dengan drama terbaharu Masih Ada Cinta yang dilakonkan Farid Kamil dan Mimi Lana untuk slot Akasia, TV 3 pukul 7 malam.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

