SEBANYAK 281 kes positif COVID-19 semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam 15 mukim di Terengganu telah membuatkan sekatan pergerakan di kesemua kawasan berkenaan dilanjutkan.
PKPD yang dilaksanakan di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu itu sepatutnya tamat esok tetapi disambung lagi selama dua minggu sehingga 18 Jun ini.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah pun melakukan 3,569 ujian saringan dalam 15 kawasan berkenaan.
Namun begitu, kata beliau, KKM mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melanjutkan PKPD di 15 mukim dalam daerah Besut, Terengganu bermula 5 Jun sehingga 18 Jun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 13 lokaliti di Pulau Pinang, 4 perumahan di Pahang PKPD
Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan satu lagi lokaliti yang terletak di Kelantan yang sebelum ini telah diletakkan dalam PKPD turut dilanjutkan selama dua minggu.
Kata beliau, PKPD di Kepulauan Tumpat, Tumpat itu dijadualkan tamat esok namun dilanjutkan bermula Sabtu ini sehingga 18 Jun.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, KKM mendapati 239 individu telah disahkan positif COVID-19 menerusi 1,462 ujian saringan yang dilaksanakan.
“KKM juga mendapati masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut,” jelas beliau.
Dalam pada itu, enam mukim di Perak yang sebelum ini turut dikenakan PKPD iaitu Pengkalan Hulu; Taiping; Hulu Kinta (merangkumi Lahat, Chemor, Ipoh dan Tanjung Rambutan) serta Hulu Bernam Timur dijadualkan tamat esok.
Dua lagi mukim iaitu Bagan Serai dan Parit Buntar pula dijadualkan tamat pada 9 Jun dan 10 Jun.
Setelah membuat penilaian risiko dan atas nasihat KKM, kerajaan bagaimanapun bersetuju untuk menamatkan PKPD di kesemua enam mukim berkenaan berkuatkuasa esok.
“Dalam tempoh PKPD, KKM telah melakukan 5,269 ujian saringan di semua enam mukim dan 315 daripadanya disahkan positif COVID-19.
“KKM juga mengesahkan berlaku penurunan kes dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

