Gambar media sosial KPDNHEP Kelantan

KETIKA minyak masak peket bersubsidi ada kalanya susut di rak-rak di kedai runcit mahu pun pasar raya, ada pula segelintir pihak yang tamak menyeludup barangan itu ke negara jiran.

Semuanya gara-gara harga minyak masak peket Malaysia mampu dijual di Sungai Golok pada harga sekali ganda berikutan peningkatan harga sawit global.

Terbaru, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan merampas 9,350 kilogram minyak masak daripada diseludup ke negara jiran hasil serbuan di Kampung Rogayah, Pasir Mas semalam.

Serbuan itu dilakukan di sebuah stor simpanan barangan kawalan menerusi operasi bersepadu dua agensi.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, barangan rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM23,375.

Katanya, turut ditahan seorang lelaki berusia 50-an dalam serbuan pada 9 pagi itu.

“Serbuan itu dilakukan menerusi operasi bersepadu yang dijalankan bersama KPDNHEP Kelantan dan Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Tumpat.

“Kami telah melakukan risikan selama seminggu sebelum melakukan serbuan dengan kekuatan anggota seramai 13 pegawai, bagi menggeledah stor simpanan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Penyeludupan minyak masak makin rancak, jangan sampai rakyat sukar dapat bekalan

Mengulas lanjut beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan disyaki cuba untuk membawa barangan rampasan itu dari luar Kelantan ke sempadan negara, bagi tujuan penyeludupan ke negara jiran melalui pengkalan haram.

“Modus operandi bagi penyeludupan kali ini ialah dengan menjadikan stor di sempadan negara di lokasi strategik laluan sungai sebagai tempat simpanan sementara, dan seterusnya dibawa seludup ke negara jiran,” jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, serta akan menjejaki punca bekalan diperolehi suspek.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram