SEBANYAK 24 lagi kluster baharu COVID-19 dilaporkan hari ini dan seperti lazimnya, kluster tempat kerja terus mencatatkan bilangan tertinggi berbanding kluster lain.
Pada hari ini, 15 lagi kluster tempat kerja dilaporkan dengan empat daripadanya di Selangor.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor masing-masing melaporkan dua kluster tempat kerja.
Katanya, ini disusuli masing-masing satu di Kuala Lumpur, Terengganu dan Kedah.
“Sementara itu, tujuh lagi kluster adalah komuniti manakala dua lagi kluster pusat tahanan.
“Untuk kluster komuniti, tiga direkodkan di Sabah, manakala masing-masing dua di Sarawak dan Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: 8,334 kes sembuh, kes aktif berkurang 10,000 berbanding 6 Jun
Dua kluster pusat tahanan yang dilaporkan adalah masing satu di Pulau Pinang dan satu lagi di Kelantan.
“Kluster pusat tahanan di Pulau Pinang adalah Tembok Bukit Mertajam dengan 206 kes positif daripada 69 yang disaring.
“Satu lagi di Kelantan iaitu kluster Jalan Bachok-Tok Bali dengan 30 positif daripada 34 yang disaring,” ujarnya.
Dalam kenyataan it, Noor Hisham memaklumkan, kluster aktif kini berjumlah sebanyak 761.
“Sebanyak 1,701 kluster telah diisytiharkan tamat setakat hari ini,” katanya.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

