mais
Sumbangan berupa pek barangan makanan kepada pemohon yang layak. - Gambar FB MAIS

MAJLIS Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukan RM2 juta agihan fidyah bagi membantu 20,000 keluarga Islam yang kehidupan mereka terjejas akibat daripada penularan pandemik COVID-19.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, agihan fidyah MAIS itu disalurkan kepada golongan B40, mereka dibuang kerja, cuti tanpa gaji, dikurangkan gaji sehingga 50 peratus atau yang hilang punca pendapatan.

Menurutnya, sehingga kini, MAIS telah mengagihkan sumbangan kepada 15,418 keluarga penerima dengan jumlah agihan fidyah MAIS sebanyak RM1.5 juta sejak dilancarkan pada 28 Disember tahun lalu.

“Sumbangan berupa pek barangan makanan kepada pemohon yang layak dilaksanakan dengan kerjasama Rakan Strategik Agihan Fidyah MAIS (RSAFM) yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (TERAS), Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), masjid dan surau di daerah yang terlibat.

“RSAFM berperanan membantu mengemaskini dan mengesahkan maklumat mereka yang memerlukan serta membantu pengagihan fidyah MAIS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BERITA BERKAITAN MAIS seru umat Islam laksana solat hajat untuk Palestin

Ahmad Shahir berkata, MAIS berharap sumbangan diterima dapat membantu mengurangkan beban setiap ketua keluarga yang terkesan bagi memastikan mereka mendapat bekalan makanan seharian mencukupi terutamanya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalam Pergerakan (PKP).

Justeru katanya, MAIS mengajak semua umat Islam di negeri ini yang terkesan dengan pandemik COVID-19 dan memerlukan bekalan makanan asasi untuk menyertai Program Sumbangan Agihan Fidyah MAIS dengan menghubungi mana-mana RSAFM.

Sekiranya terdapat masalah dan kemusykilan berkaitan permohonan bantuan agihan fidyah MAIS, pemohon boleh merujuk pegawai urusetia Agihan Fidyah MAIS (AFM), Hafizatul Akmal Abd Jalil di talian 019-264 6277 atau Amirah Addilah Mohd Johari di talian 017-327 2069.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram