ALASANNYA demi kekuatan Melayu, Islam, tetapi jika dilihat kebobrokannya masih sama, kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional PKR 2020 hari ini.

Sebab itu, tegas Anwar, untuk mengatasi keangkuhan kuasa dan korupsi, negara memerlukan perubahan sistemik kerana politik bukan soal percaturan kuasa tetapi membawa perubahan kepada rakyat.

Mengakui perbincangan dan perundingan sedang berlangsung dengan semua pihak, namun kata, Ketua Pembangkang itu, PKR dan Pakatan Harapan (PH) kekal tidak berganjak dalam soal prinsip.

“Kuasa itu akan dipikul sebagai satu amanah dan ia mesti mewakili aspirasi perjuangan rakyat.

“Jika tidak kita akan sama seperti pengkhianat-pengkhianat yang ada,” katanya yang mengakui PKR juga tidak terlepas daripada pengkhianat yang tewas apabila diuji dengan kuasa.

Tambah Anwar dalam kongres yang berlangsung secara maya itu, politik juga bukan soal percaturan kuasa dalam kalangan elit hingga sanggup menggunakan jalan pintas untuk mempertahankan atau merebut kedudukan.

Katanya, mengenepikan aspirasi orang di bawah yang memberi kuasa adalah pemikiran golongan elit yang tidak pernah merasai rintihan rakyat yang mana bagi kelompok tersebut kuasa boleh direbut dengan kekayaan dan kedudukan.

“Dalam proses rundingan yang dilakukan, kita (PH) sebut yang kerajaan mestilah kembali kepada prinsip tata kelola dan urus tadbir yang baik.

“Mesti ubah paradigma politik daripada percaturan rebut kekayaan supaya pejabat lebih besar, elaun lebih banyak, menghulur projek sesuka hati dan mempemerkan kekayan berkilauan tetapi tidak mempunyai hati nurani untuk bawa perubahan,” jelasnya.

Katanya, sebab itu ‘Melayu dan Islam’ tidak harus dalam bentuk slogan atau dalam ‘pakaian yang mengkagumkan’ sebaliknya memerlukan dasar dan tindakan.

Tegas Anwar, laungan atau slogan bukan penting tetapi keikhlasan hati dan nurani yang kemudian disusuli dengan perancangan dasar dan tindakan seperti mana dalam soal kemiskinan yang majoritinya adalah bumiputera.

“Kemiskinan adalah kemiskinan. Sama ada di Manik Urai atau Kapit, kemiskinan nelayan di Kuala Kedah atau penghuni rumah PPR di Lembah Pantai.

“Ini yang kita sebut ketelusan berdasarkan fakta, sains iaitu angka yang harus disusuli rencana dan tindakan,” katanya sambil menegaskan Islam sendiri menekankan aspek rahmah dalam tindakan.

Menurut Anwar, beliau mengakui PKR sering kali dipertikai sebagai tidak memikirkan atau memperjuangkan aspirasi Melayu Islam.

Katanya, sedangkan tuduhan itu digerakkan hasil propaganda pihak berkuasa hasil kuasa dimiliki mereka untuk menggerakan jentera termasuk media hinggakan mereka sendiri yakin dengan pembohongan yang dicipta.

Baca artikel berkaitan: “Tidak bincang perubahan kerajaan, hanya soal COVID-19, Parlimen dan darurat” – Anwar

Ujar beliau, hakikatnya PKR sangat mantap dalam soal bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, hak istimewa Melayu, kedaulatan raja-raja Melayu dan sebagainya.

“Malah bagi kita seperti mana dan soal titah raja-raja baru-baru ini, kita lebih berprinsip dalam hal ini.

“Tidak menggunakan nama Agong untuk laksana darurat secara rakus tapi bila ada titah nasihat supaya dihentikan darurat dan Parlimen disegerakan, mereka putar belit kenyataan.

“Ini bukan mendokong prinsip raja perlembagaan. Ini memperalat institusi,” katanya.

Begitu juga sosal dasar mengukuhkan ekonomi bumiputera yang katanya, ia tidak sepatutnya digunakan untuk memperkayakan ahli keluarga dan kroni.

“Lihat orang sekeliling, semua kaya tetapi rakyat, nelayan, pekebun kecil, peneroka di pedalaman masih terpinggir,” ujarnya.

Dalam ucapannya itu, beliau juga memetik puisi WS Renda bahawa perjuangan itu adalah pelaksanaan kata-kata.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram