KERTAS siasatan berhubung insiden sebuah helikopter mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja di Padang Ipoh, Perak 23 Julai lalu telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk arahan dan tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan kes tersebut sudah diserahkan setelah selesai lengkap Jumaat lalu.
Menurutnya, beliau difahamkan, kertas siasatan juga akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk mendapat arahan lanjut.
“Buat masa ini kita tunggu keputusan mereka (untuk pendakwaan),” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, Ipoh.
Mior Faridalathrash berkata, tiada pihak lain dipanggil memberi keterangan berhubung kes tersebut selain lima individu termasuk seorang bergelar Datuk.
“Siasatan telah dijalankan terhadap lima individu yang dikenal pasti termasuk pengadu iaitu kakitangan DBI (Dewan Bandaran Ipoh), pengusaha restoran nasi ganja dan tiga yang lain,” katanya.
Mengikut laporan akhbar pada 23 Julai lalu, helikopter dikendalikan syarikat Systematic Aviation Services Sdn. Bhd. (SAS) itu mendarat di padang Ipoh pada pukul 10 pagi bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja.
Tempahan itu difahamkan dibuat oleh pelanggan dari Kuala Lumpur di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di bandar raya ini yang lebih dikenali sebagai nasi ganja.
Mior Faridalathrash sebelum ini mengesahkan, helikopter Bell 505 Global Ranger itu mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis Selangor.
Bagaimanapun, surat kebenaran berkenaan adalah bagi keperluan penyelenggaraan pesawat (aircraft maintenance) untuk penerbangan dari Subang ke Ipoh.

