RAKYAT Malaysia yang disahkan terkorban dalam satu nahas helikopter di Kalimantan Barat, Indonesia, kelmarin dikenal pasti sebagai Ketua Pegawai Operasi KPN Plantations, Patrick Kee Chuan Peng.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, perkara itu disahkan berdasarkan maklumat yang diterima daripada majikannya.
Menurut Kementerian Luar, Patrick, 67 berada di Kalimantan Barat atas urusan kerja ketika kejadian tersebut berlaku.
“Konsulat Malaysia di Pontianak menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya termasuk menyelaras dengan pihak berkuasa Indonesia, majikan serta keluarga bagi memudahcara urusan membawa pulang jenazah mendiang ke Malaysia.
“Kementerian Luar merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Kementerian Luar memberitahu, helikopter berkenaan yang didaftarkan sebagai PK-CFX dan dikendalikan oleh sebuah syarikat penerbangan tempatan.
Katanya, helikopter tersebut telah terputus hubungan sejurus berlepas dari Kabupaten Melawi dalam penerbangan ke Kabupaten Kubu Raya.
“Bangkai helikopter tersebut kemudiannya ditemui di kawasan hutan terpencil di Desa Tapang Tingang, Kecamatan Nanga Taman, Kabupaten Sekadau.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia yang berkaitan,” jelasnya.
Terdahulu, lapan individu dilaporkan maut selepas helikopter dinaiki mereka terhempas di wilayah Kalimantan Barat.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui lokasi nahas pada petang kelmarin, di kawasan hutan berbukit dengan cerun curam, kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir helikopter dikesan.
Menurut Ketua Pengarah Penerbangan Awam Indonesia, Lukman F Laisa, semua mangsa lelaki terdiri daripada enam penumpang dan dua kru.
Helikopter jenis Airbus H130 milik syarikat tempatan, Matthew Air Nusantara itu, dilaporkan terputus hubungan kira-kira jam 8.10 pagi waktu tempatan selepas berlepas pada jam 7.34 pagi dari Melawi menuju ke Kubu Raya.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

