DALAM keadaan suasana politik negara yang tidak menentu ketika ini, semua ahli-ahli Pas diseru supaya kekal bertenang dan tidak menimbulkan tegang dalam kalangan masyarakat.
Pesanan itu disuarakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam video dimuat naik ke akaun Facebook rasmi miliknya hari ini.
Menurut Tuan Ibrahim, ahli Pas perlu berfikiran lapang dan yakin dengan apa sahaja aturan Allah.
Pada masa sama, beliau meminta supaya orang ramai khususnya ahli parti itu mendapatkan maklumat daripada sumber sahih.
Tuan Ibrahim turut menasihatkan supaya orang ramai tidak ‘termakan’ dengan apa sahaja fitnah atau cerita rekaan yang sengaja disebarkan pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan suasana tidak harmoni dalam kalangan masyarakat.
“Kita tak tahu apa yang sedang Allah atur tetapi kita yakin aturan itu adalah yang terbaik kerana kita berima dengan qada’ dan qadar.
“Apa yang berlaku sebenarnya telah ditetapkan sejak azali namun dirahsiakan Allah kerana manusia perlu berusaha dan diberikan ganjaran pahala,” katanya dalam video tersebut.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim juga yakin parti dan ahli-ahli Kabinet akan dapat menguruskan situasi ini sebaik mungkin.
Baca artikel berkaitan: Mesyuarat khas Kabinet pagi ini, pergerakan Muhyiddin jadi tumpuan
“Saya dan kawan-kawan di Pas serta rakan-rakan Kabinet akan uruskan dengan sebaik mungkin situasi ini supaya keadaan negara kita mendapat kestabilan dan ketenangan.
“Saya yakin dan percaya pimpinan kita sedang melakukan yang terbaik. Apa yang mampu kita buat adalah berdoa supaya kemelut ini dapat diselesaikan dengan jalan terbaik,” jelas beliau.
Pergerakan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya petugas media susulan perkembangan politik semasa negara.
Perdana Menteri ketika dibawa keluar dari kediamannya di Bukit Damansara di ibu negara pada 7.42 pagi ini dilihat melambai ke arah media yang telah berada di sekitar kawasan itu sejak awal pagi.
Beliau kemudian tiba di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8.07 pagi, dijangka untuk menghadiri mesyuarat khas Kabinet.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dilaporkan berkata Muhyiddin dijangka membuat satu pengumuman khas hari ini.
Kenderaan-kenderaan yang dinaiki menteri-menteri Kabinet mula dilihat memasuki Perdana Putra sejak 9.30 pagi.
Antara yang kelihatan ialah kenderaan yang membawa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

