Pengarah dan pelakon Liyana Jasmay menyelar tindakan seorang netizen yang kononnya menjalani eksperimen sosial dengan makan di restoran meskipun tidak menerima vaksin.
Menerusi satu perkongsian di InstaStory menerusi akaun Instagram miliknya semalam, Liyana, 33, berpendapat tindakan individu tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan dapat membahayakan kesihatan dan keselamatan orang lain.
“Ini adalah contoh orang yang tak bertanggungjawab dan rasa virus Covid-19 ini adalah bahan lawak.
“Kepada yang anti vaksin, itu ialah pilihan anda tetapi jangan nak buat eksperimen macam ni dan rasa awak tu hebat.
“Tindakan ini membahayakan keselamatan orang lain dan Covid-19 bukan perkara yang kelakar. Masya Allah, semoga terbuka hati keluarga anda untuk fikirkan keselamatan orang lain,” tulis Liyana.

Tambahnya, dia dan suami pernah dijangkiti COVID-19 tiga minggu lalu dan tidak pernah sesekali terfikir untuk berkongsi dengan orang lain mengenai apa yang mereka telah lalui.
“Saya dan suami positif Covid-19 tiga minggu lalu. Kami tidak ingin orang lain lalui nasib yang sama.
“Ketika dijangkiti Covid-19, kami berdua sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca. Selesai kuarantin, kami segera dapatkan dos kedua dan kuarantin lagi 14 hari untuk kendiri badan.
“Kita kena sama-sama bertanggungjawab dengan tindakan kita. Janganlah buat perkara tanpa berfikir dengan betul,” ujarnya.
Terdahulu, seorang individu dengan bangga telah memuat naik satu hantaran di Facebook mengenai eksperimen sosial yang dilakukan dimana dia dibenarkan masuk dan makan direstoran walaupun belum mendapatkan dua dos suntikan vaksin.
Perkongsian individu tersebut menjadi tular dan dilaporkan dia telah ditahan pihak polis disebabkan oleh status yang dimuat naik di Facebook itu.

