KKM tingkat kesiapsiagaan, kapasiti hospital di Langkawi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang meningkatkan kesiapsiagaan dan kapasiti respon Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital dan unit rawatan rapi (ICU).

Ia susulan pembukaan Langkawi sebagai projek rintis gelembung pelancongan domestik bermula Khamis ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, HSM merupakan hospital hibrid yang merawat pesakit COVID-19 dengan kapasiti 79 katil dan 142 katil lagi bukan COVID-19.

Kata beliau, kewujudan i-PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19) Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM) 4 Ogos lalu telah menambahkan 60 lagi katil tambahan bagi merawat pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan 3.

“Bagi ICU pula, sebanyak lapan buah katil tambahan telah diwujudkan sebelum ini menjadikan kapasiti katil meningkat kepada 13 buah.

“Daripada jumlah ini, sembilan katil dikhususkan bagi merawat kes COVID-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Baca artikel berkaitan: Pelancong domestik penuhi kriteria SOP boleh ke Langkawi

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, jabatan-jabatan lain HSM termasuk Jabatan Kecemasan dan Trauma; Jabatan Patologi dan Transfusi Perubatan; Jabatan Pediatrik; Jabatan Forensik serta unit Hemodialisis turut merancang pelan kesiapsiagaan masing-masing bagi merawat kes COVID-19 yang mungkin bertambah.

Katanya, beberapa cadangan penambahbaikan telah diberikan menerusi perbincangan yang diadakan bersama HSM dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah termasuk penetapan nilai ambang kadar kemasukan pesakit harian sebagai petanda amaran agar tindakan proaktif tertentu diambil.

Menurut Noor Hisham, ia termasuk keperluan menambah bilangan katil bukan ICU dan ICU untuk kes COVID-19, mobilisasi petugas kesihatan serta aset daripada daerah atau negeri lain, evakuasi pesakit melalui pengangkutan udara ke hospital rujukan lain serta penubuhan PKRC yang dikendalikan pihak swasta.

“KKM ingin mengingatkan kepada semua bakal pengunjung Langkawi di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Tatkala kita cuba mengimbangi antara nyawa dengan kelangsungan hidup dan ekonomi, marilah kita bersama-sama memastikan tiada peningkatan jangkitan virus COVID-19 di pulau percutian ini,” jelas beliau.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Tambang percuma LRT3, bas pengantara sebulan mulai esok – Anwar

ORANG ramai boleh menikmati perkhidmatan percuma Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Laluan Shah Alam selama sebulan bermula esok...

More Articles Like This