MENTERI Luar Datuk Saifuddin Abdullah menekankan sokongan Malaysia ke atas proses inklusif yang dipimpin, dimiliki serta dikawal oleh rakyat Afghanistan sendiri, ke arah penyelesaian politik berkekalan demi keamanan dan keselamatan negara itu.

Menurut kenyataan Wisma Putra awal pagi ini, Saifuddin juga menggesa agar hak asasi manusia dan kebebasan asasi di Afghanistan dihormati, termasuk dengan penyertaan penuh dan bermakna oleh golongan wanita, belia dan minoriti.

SAIFUDDIN ABDULLAH

Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Menteri Peringkat Tinggi mengenai Situasi Kemanusiaan di Afghanistan anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara maya pada Isnin.

Saifuddin turut mengumumkan sumbangan kewangan daripada Malaysia sebanyak USD100,000 bagi membantu dan menyokong rakyat Aghanistan.

Semasa mesyuarat itu, beliau menekankan bahawa keselamatan, hak asasi manusia dan kebajikan seluruh warga Afghanistan dan warganegara asing di negara itu harus diberi keutamaan dan dilindungi, di samping memastikan akses bantuan kemanusiaan yang segera dan selamat.

Mesyuarat tergempar anjuran António Guterres, Setiausaha Agung PBB ini bertujuan mengukuhkan solidariti masyarakat antarabangsa ke atas rakyat Afghanistan serta mengetengahkan keperluan mendesak untuk mendapatkan sumbangan dan sokongan masyarakat antarabangsa bagi mengatasi krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di negara itu.

Setiausaha Agung PBB menekankan keperluan sumbangan kewangan sebanyak USD604 juta bagi membantu 11 juta rakyat Afghanistan dalam tempoh masa empat bulan yang akan datang.

Penyertaan Malaysia dalam mesyuarat ini mencerminkan solidariti Malaysia ke atas rakyat Afghanistan serta sokongan teguh Malaysia kepada pihak PBB dalam usaha menangani krisis kemanusiaan di Afghanistan, tambah kenyataan itu.

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram