YAYASAN Bank Rakyat mengambil langkah proaktif menghulurkan sumbangan kepada sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir besar yang melanda daerah Yan, Kedah.
Sumbangan berjumlah RM25,000 itu diberikan bersempena program penyerahan sumbangan kepada usahawan dan keluarga terjejas banjir anjuran Bank Rakyat serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak menyampaikan sumbangan tersebut kepada lima buah sekolah iaitu RM5,000 untuk sebuah sekolah di daerah berkenaan.
Penyerahan itu dilakukan kepada Pegawai Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC) dan Pendidikan Daerah Yan, Ruslan Ahmad sambil disaksikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar.
Sekolah terjejas yang menerima sumbangan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan (SK) Langkasuka, SK Haji Nyak Gam, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) York Koon dan Maahad Tahfiz Al-Fityan.
Baca artikel berkaitan: Yayasan Bank Rakyat hulur RM75,000 bantu murid sekolah
Yang turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslim Yahya; Ketua Setiausahanya, Datuk Suriani Ahmad; Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.
Sejak ditubuhkan pada 16 Mei 2007, Yayasan Bank Rakyat komited membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan, ahli-ahli Bank Rakyat dan anak-anak mereka dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan.
Komitmen ini terbukti oleh skala program penajaan Yayasan Bank Rakyat – sehingga 1 Januari 2021, Yayasan Bank Rakyat telah menaja lebih daripada 5,800 pelajar dengan jumlah keseluruhan tajaan melebihi RM150 juta bagi meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi.
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

