Lebih 740,000 etnik Rohingya di Myanmar melarikan diri daripada kekejaman tentera Myanmar pada 2017.

SEKURANG-KURANGNYA 200,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia pada masa ini iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara, dedah Kementerian Luar, hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia sentiasa bekerjasama dengan negara ASEAN dan tidak bergerak sendiri dalam usaha menghentikan pengusiran etnik Rohingya dari Myanmar.

Menurutnya, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948.

“Dalam hal ini, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat-peringkat serantau mahupun antarabangsa.

“Di peringkat ASEAN misalnya, Malaysia adalah negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan tentang isu pelarian Rohingya.

“Malaysia juga menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudahcara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya; dan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil ke atas rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar bagi mengubah haluan Myanmar untuk kembali ke landasan demokrasi seperti dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.

Ujarnya, hasil pertemuan tergempar diadakan di peringkat pemimpin ASEAN bagi membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu.

Beliau berkata, ASEAN kini sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui, bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.

“Kita telah diberi taklimat oleh utusan khas bahawa Naypyidaw tidak memberikan kerjasama mengenai Konsensus Lima Perkara, pada mesyuarat Menteri Luar ASEAN, kelmarin.

“Justeru, Malaysia berpendapat, sukar untuk mengundang Ketua Tentera sedang berkuasa di Naypyidaw menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini, jika tiada kemajuan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara.

“Namun, proses melaksanakan Konsensus Lima Perkara masih diusahakan dengan ‘whatever is humanly possible’ oleh utusan khas (Myanmar),” tambahnya.