MAHKAMAH Rayuan membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya buat sementara.

Ia bagi membolehkan Ahli Parlimen Pekan itu melawat dan menemani anak perempuannya, Nooryana Najwa yang akan melahirkan cahaya mata kedua, bulan hadapan di Singapura.

Memetik laporan BH Online, panel tiga hakim yang bersidang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said membenarkan permohonan berkenaan bermula 20 Oktober sehingga 22 November depan.

Permohonan itu tidak menerima bantahan daripada pihak pendakwaan.

Menurut Kamaludin, mahkamah membenarkan permohonan berkenaan selepas mendapati terdapat alasan munasabah.

Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan semula pasportnya untuk kegunaan sementara.

Baca artikel berkaitan: Selepas Rosmah berjaya, Najib pula tunggu kelulusan permohonan pasport untuk ke Singapura

Hakim, Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan yang dibuat oleh peguam bela tertuduh, Datuk Jagjit Singh.

“Pasport pemohon dikembalikan kepadanya pada 15 Oktober 2021 (hari ini), dan mesti dikembalikan (ke mahkamah) sebelum atau sebelum 6 Disember 2021.

“Ini dengan syarat pemohon hanya dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negeri ke Singapura, mulai 21 Oktober 2021, dan mesti kembali ke Malaysia pada atau sebelum 21 November 2021,” hakim memutuskan seperti dilaporkan Malaysiakini.

Jagjit yang mewakili Rosmah sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa Nooryana Najwa, 33, sedang sarat mengandung lapan bulan dan bakal melahirkan anak keduanya di Singapura.

“Anak perempuan Rosmah mempunyai sejarah komplikasi berisiko tinggi sewaktu bersalin yang boleh menjejaskan kesihatan dan nyawanya, jadi kami memohon untuk pasport pemohon dilepaskan sementara,” kata peguam itu seperti dilaporkan Bernama.

Najib melalui peguamnya Rahmat Hazlan turut memfailkan permohonan sama di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram